Thursday, April 30, 2020

Pemimpin vs. Bos

Kita selalu dengar dalam mana-mana program motivasi kepimpinan, di mana biasanya motivator atau fasilitator akan bagi beberapa contoh untuk membezakan seorang Pemimpin dan seorang Bos. 

Di mana akhirnya dapat dirumuskan yang seorang Bos biasanya bersifat self-centric, berbeza dengan Pemimpin yang lebih ke arah community/goal/vision - centric. 

Nah, dalam video ni pun dah boleh dijadikan contoh untuk nak disinguished between a Leader and a Boss. 

Sama-sama kita nilaikan


Ambil mood

Hilmi Khairi
Ramadhan kareem 1441H
Hilmi Khairi

Wednesday, April 29, 2020

Tanggungjawab

"Saya tiada apa yang dapat saya berikan kepada awak untuk perkahwinan ini," katanya sedikit tersekat sambil pandangan tertunduk. Sedikit gugup terasa.

"Cuma satu saya yang janji. Saya akan usaha untuk jaga awak sungguh-sungguh..." sambung katanya sambil menarik nafas dalam. Tekad untuk menyampaikan keazamannya sambil mengangkat kepalanya memberanikan diri memandang tepat.

"... hatta dengan nyawa saya sendiri"

"Sampai begitu sekali?" soal insan di depannya.

"Kerana..." bicaranya sambil kembali tertunduk. Masih gugup.

"... seorang isteri, adalah merupakan satu kurniaan dan amanah Allah untuk si suami. Dan setiap kurniaan dan amanah itu pasti akan dihisab," terhenti seketika bicaranya.

"Dan amatlah saya berharap agar di hadapan Tuhan nanti, apabila ditanya tentang kurniaan dan amanah yang ini, saya mampu menjawab,

'wahai Tuhan, sesungguhnya saya telah bersungguh sedaya yang mungkin menjaga kurniaan dan amanahMu ini, hingga ke tahap dengan nyawaku, dan sesungguhnya Engkau mengetahuinya'

Dan sungguh saya berharap agar Tuhan dengan ar RahimNya akan menjawab kembali,

 'Benar apa yang hambaKu ini katakan. Dan Aku redha kepadanya'..."

Mata berkaca.

.

Setiap daripada kita ada kurniaan dan amanah yang telah Allah beri.

Ada dalam bentuk jawatan, keluarga, pengaruh, harta, kesihatan, ilmu dan pelbagai lagi bentuk amanah.

Dan yakinlah, suatu hari nanti kita akan dipersoalkan atas setiap amanah yang telah diberikan kepada kita. Sejauh mana kita menyempurnakannya, atau mengabaikannya.

Dari Ibnu Umar r.a, dari Nabi s.a.w, bahawa baginda bersabda,

“Ketahuilah, SETIAP KALIAN ADALAH PEMIMPIN, dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya.

Seorang PEMIMPIN yang memimpin rakyat akan bertanggung jawab atas RAKYATNYA,

seorang LELAKI adalah pemimpin atas KELUARGANYA, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua,

seorang WANITA juga pemimpin atas RUMAH SUAMINYA dan ANAK-ANAKNYA, dan dia bertanggung jawab atas mereka semua,

seorang HAMBA adalah pemimpin atas HARTA TUANNYA, dan dia bertanggung jawab atas harta tersebut.

Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggung jawab atas kepemimpinannya.”

(Hadith Riwayat Muslim: No. 3048)

Wallahualam

Hilmi Khairi

Monday, April 27, 2020

"I wanna hold hour hand" - The Beatles

Keluar bilik lepas mandi pagi tadi, si isteri terus tahan dan terus ambil gambar.

Dia kata rambut abang dah macam orang The Beatles, sambil terus dia nyanyi,

"Oh yeah, I'll tell you something
I think you'll understand
When I'll say that something
I wanna hold your hand
I wanna hold your hand
I wanna hold your hand"

Saya sahut.
"Waktu rambut masa basah ye la macam The Beatles, waktu kering macam Alleycats" 🤣 .

Hilmi Khairi


.

Pagi ni appointment di klinik kesihatan. Doakan saya tak bertemu dengan doktor si cantik manis yang lepas 😅😅😅

Dikhuatiri nanti bacaan BP meroket naik lagi macam hari tu

Dah la seminggu ni BP kembali tak stabil sangat 😅. Masalah tidur kembali.

#CeritaKami

Sunday, April 26, 2020

Saturday, April 25, 2020

"ALLAH sayang..." - Ustaz Ebit Lew

Melihat kes Ustaz Ebit Lew ni, saya teringat perbualan dengan isteri kira-kira setahun dua yang lepas.

Waktu tu Noor Hayati tunjuk gambar UEL tengah bagi sumbangan. Tetapi saya tak ingat kepada siapa dan dalam bentuk apa.

"Takpe ke kita tunjuk bagi sumbangan macam ni?" si isteri menghulurkan telefon. Menunjukkan gambar UEL sedang beri sumbangan kepada saya semasa buat kerja di hadapan laptop.

"Boleh je takde masalah. Ada je dalil yang membolehkan sedekah terang-terangan. Dengan niat untuk beri galakkan orang lain untuk buat benda sama. Tapi mujahadahlah. Kena jaga niat. Sebab itu kalau tak mampu, lebih baik buat secara sembunyi..." jawab saya. Mata masih di laptop.

"...cumanya..." saya terhenti seketika. Kepala bersandar di sofa sambil memandang isteri.

"Cuma apa bang?" mata sepet isteri seolah membulat menanti saya menyambung jawapan.

"Cuma abang khuatir gambar-gambar macam ni membuka pintu-pintu fitnah. Bukan semua orang suka benda macam ni." Jawab saya sambil stretch sikit badan sebelum mengadap kembali kerja di laptop.

Lebih kurang begitulah perbualan kami.
Masih segar dalam ingatan.

Dan tak sangka selepas setahun dua, apa yang kami bualkan seolah jadi kenyataan. Fitnah telah terbuka luas yang diambil kesempatan oleh pihak yang tidak senang hati dan para pengadu domba.

Bangga pulak mereka. Aneh dunia akhir zaman ni.

Hilmi Khairi

Bertabahlah Ustaz Ebit Lew
Dunia ni memang pahit. Kerana syurga itu terlalu manis.
Saya hanya mampu titipkan ustaz dalam doa.
Moga Allah bagi kekuatan. Agar hati itu tidak patah semangat.

ALLAH sayang.
Di sebalik ujian, ada rahmat.
Insya Allah

Ada rezeki, kita khuruj sekali nanti ustaz. Dah lama menyimpan azam nak khuruj dengan ustaz 😊

Friday, April 24, 2020

Budak azan awal

Hilmi Khairi

Ada budak tengah malu.

Pukul 7.10 tetiba dah laung azan maghrib, macam biasa dia buat hari-hari bila masuk waktu.

Terkejut ayah dan ummi

Tau la dah lapar.... 😆

Thursday, April 23, 2020

Ramadhan Kareem 1141H

Hilmi Khairi

Nota Ramadhan 1441H:

1. Ramadhan kali ni mungkin berlainan buat kita. Tiada solat berjemaah, terawih, tadarus, iftar dan moreh di masjid

2. Namun ianya tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada kita untuk berusaha menjadikan Ramadhan tahun ini yang terbaik buat kita.

3. Masjid bukan pada bangunannya, tetapi pada amalannya

4. Amalan masjid adalah pada suasana Dakwahnya, pada halaqah Taalim dan Ilmunya, pada Ibadahnya, pada Amalan Khidmatnya

5. Mafhum hadith Nabi, tempat di mana Allah diingati adalah merupakan taman-taman syurga.

6. Sabda Rasulullah, "Apabila kalian berjalan melewati Taman-Taman Syurga, maka duduklah bersama mereka”. Sahabat bertanya, "Apakah itu taman syurga?" Baginda menjawab, "Taman Syurga itu ialah halaqah-halaqah zikir (majlis ilmu dan zikir)." (Hadith riwayat Imam Ahmad & Tirmidzi)

7. Barangkali dengan ini, barulah benar slogan 'baiti jannati'.

Rumahku, Syurgaku.

Wallahualam

-Hilmi Khairi

#notaingatan

Umat ibarat satu jasad

Kerosakan umat bermula dengan perpecahan dan bercakaran atas benda yang nonsense.

Itulah yang berlaku di akhir era Khulafa' ar Rasyidin, itulah juga yang berlaku di akhir zaman Umayyah, di akhir zaman Abbasiyah, di penghujung era Andalus, pengakhiran Kesultanan Ayyubid, Seljuk, Mamluk, Moghul, dan penamat era kekhalifahan semasa Uthmaniyyah

Dan sungguh
Hingga ke hari ini kita masih tak ambil pengajaran

'Umat mudah lupa'

😔

Hilmi Khairi

Wednesday, April 22, 2020

"Langit yang tertutup"

Tuhan,
Meskipun kiranya langit ini tertutup untukku
Aku kan tetap menanti di hadapan pintu rahmatMu

Kerana
Tiada lagi tempat lain yang boleh ku tuju.

Tuhan,
Kasihanilah.

Hilmi Khairi

Digital world: the new normal

Bacaan santai.

Towards the new-normal of post Covid-19 & recession 2020.

Case study: Estonia

"E-Estonia is the most ambitious project in technological statecraft today, for it includes all members of the government, and alters citizens’ daily lives. The normal services that government is involved with - legislation, voting, education, justice, health care, banking, taxes, policing, and so on - have been digitally linked across one platform, wiring up the nation"

Hilmi Khairi

https://www.newyorker.com/magazine/2017/12/18/estonia-the-digital-republic


Imam Terawih di Musim PKP 2020

"Saya tak hafal surah Quran yang panjang-panjang. Macamana nak jadi imam solat terawih kat rumah Ramadhan nanti ni? Reti Qul huwallahu ahad je."

Jangan malu.
Walaupun sekadar Surah al-Ikhlas
Berdirilah depan Allah dengan yakin dan khusyuk

Sheikh Aslam bercerita, ada di kalangan Sahabat r.a yang sangat sukakan surah Al-Ikhlas. Kecintaannya pada surah itu sangat mendalam sehingga dia akan membaca surah itu dalam setiap rakaat solat sunatnya

Rasulullah memberitahunya, "kecintaanmu pada surah itu akan menyebabkan kamu akan masuk ke syurga"

Tapi ambillah peluang untuk upgrade sikit. Perbaiki bacaan tajwidnya. Ambil tahu makna bacaannya. Barulah dapat baca dari hati dengan penuh semangat.

.

Yang isteri pulak, kasi moral support. Jangan downkan pulak. Kalau malam pertama dah sindir,

"Hai bang.. takkan 8 rakaat surah tu je kot"

Memang lagi 29 malam ko terawih sengsorang la jawabnya 😂

.

"Macamana nak baiki tajwid? Musim PKP ni kan? Tak dapat jumpa ustaz"

Kreatiflah sikit. Kat youtube banyak video bacaan imam-imam yang sedap-sedap untuk ditiru. Nak tasmik online pun boleh guna Zoom, Skype, Whatsapp, Telegram, Meet, Hangout etc..

Daripada sibuk nak fikir macamana nak nikah online tanpa pengetahuan bini, baik buat untuk cek tajwid

Hehe 😆

Wallahua'alam

#lusaRamadhan
#timQul

Hilmi Khairi

Tuesday, April 21, 2020

Redah sahaja

Apabila berdepan dengan situasi ini;

"Buat salah, tak buat pun salah"

Maka apa patut kita buat?

Redah sahaja. Jalan terus jangan undur.
Allah yang akan nilai niat dan usaha kita

Orang lain hanya sekadar tahu berbicara.

Monday, April 20, 2020

Satu Analisis Santai (Covid-19, Global Recession & New Economic Order)

Hilmi Khairi

1. Alhamdulillah, wabak Covid-19 di Malaysia menunjukkan trend penurunan.  Ini menunjukkan keputusan MKN dan KKM untuk melaksanakan PKP hingga ke fasa 3 menjadi asbab yang mengekang penularan

2. Namun perjalanan masih jauh lagi.  Pada pendapat saya (meskipun dengan hati yang berat), PKP wajar dipertimbangkan untuk dilanjutkan lagi.  Jika kita lihat trend di China, seolah ada second wave baru nak bermula kembali.  SIngapore pula kes sedang mencanak sehingga menjadi negara nom. 1 di Asia Tenggara dalam ranking penularan Covid-19 buat masa ni.  Dua hari lepas Singapore mencatat kes baru mencecah hampir 1000 kes in single day.  Jepun yang asalnya berjaya mengekang penularan pun sudah memecut ke ranking atasan dunia

3. Kita dah mula di ambang global recession.  Bursa-bursa saham di seluruh dunia sedang 'berenang di lautan merah'.  Tiada tanda pemulihan buat masa ini

4. Sektor perniagaan yang paling teruk terjejas adalah penerbangan, pengangkutan awam dan pelancongan.  Ini diikuti oleh bidang pendidikan dan peruncitan yang bergantung harap pada kaedah konvensional

5. Sektor yang 'hangat' di pasaran; barangan dan kelengkapan kesihatan, sektor penghantaran & logistik, telekomunikasi, IOT based businesses.  Syarikat perniagaan yang cepat beralih dari platform konvensional kepada digital juga dilihat ada kebarangkalian untuk survive, khusus dalam bidang makanan, runcit dan pendidikan.

6. Pakar ekonomi berpendapat - tiada lagi normal yang lama. Kita kena bersiapsiaga untuk normal yang baru.  PKP, social distancing dan WFH mungkin akan jadi new normal lepas ni. Digital platform pula bakal menjadi tunjang transaksi.

7. New normal = new economic order = new kind of business.  Seorang yang berhasrat untuk berniaga, boleh fikirkan apa jenis perniagaan yang dilihat bersesuaian.  Usahawan sedia ada pula boleh buat new venture atau grow business dengan strategi dan wajah baru

8. Banyak perniagaan yang booming semasa/selepas recession.  Sebagai contoh: Microsoft (selepas oil crisis 1975), Apple (revamped semula selepas tragedi 9/11, Netflix (lepas krisis 1997), Airbnb (lepas krisis 2008). Untuk case study yang lebih lama: HP (lepas krisis 1937) dan DIsney (semasa The Great Depression 1929)

9. Peluang insya Allah sentiasa ada. Persoalannya, kita sedia tak untuk garab peluang-peluang itu?

10. Boleh dah tengok-tengok bahan bacaan berkaitan IOT, Gig Economy (pertama kali dengar dari Yusry Yusopp), Minimalist Economy, Frugal technologies dan lain-lain.

11. Doa banyak. Hanya Allah yang boleh memelihara kita dan membantu usaha kita.

Sunday, April 19, 2020

Larangan celaan atas makanan

Saya retract balik posting saya dalam tentang Group Masak Apa Tak Jadi Hari Ni

Seorang sahabat Burn Mishani ingatkan saya satu hadith ni yang menyebabkan saya tak senang duduk.

Hilmi Khairi

Maka saya rasa lebih baik saya delete tentangnya.

Saya tahu.
Sesetengah kita berpendapat, malah ianya juga pendapat saya pada awalnya juga, menganggap perkongsian gambar-gambar ini sebagai gurauan untuk menceriakan hati sepanjang MCO.

Dan tidaklah semua orang berniat untuk sampai ke tahap mencela makanan.

Tapi untuk melapangkan hati saya, saya buat keputusan untuk ambil langkah selamat untuk keluar dari group tersebut.

Maafkan saya atas khilaf

Nasihat dari sahabat

Alhamdulillah.
Dalam hidup ini, Allah temukan dengan ramai sahabat-sahabat yang baik dan positif.
Mengingatkan semula apa yang terlupa.
Terima kasih kalian.

.

Dunia memang tempat ujian.
Tetapi bukan apakah ujian yang kita kena tu yang penting.
Bahkan yang penting bagaimana respon kita kepada ujian itu.
How we perceived it.

Ada ujian yang menjadikan kita jauh daripada Allah
Ada ujian yang menjadikan kita makin dekat kepadaNya
Ada ujian memposisikan kita menjadi hero
Ada ujian memposisikan kita menjadi villain.
Begitulah lumrahnya.

Iblis diuji ketaatannya, dia memilih takbur dan melawan, menjadikan dia makhluk terlaknat.
Adam alaihissalam diuji ketaatannya, Baginda memilih jalan taubat dan memperbaiki diri, menjadikan Baginda hamba Allah yang terpuji

Abu Lahab diuji keimanan apabila menerima seruan dakwah Nabi Muhammad s.a.w, dia memilih untuk mengingkari dan menentang. Maka turunlah Surah Al Masad memperihalkan kecelakaan buatnya
Sementara Abu Bakar r.a diuji keimanan apabila menerima seruan dakwah yang sama, tetapi beliau memilih untuk mengakui kebenaran dan menemani Rasul Junjungan dalam perjuangan Baginda s.a.w. Di dunia lagi telah diredhai Allah, hingga ke tahap ucapan salam dari Tuhan dikirim kepadanya.

Uzumaki Naruto (eh?) diuji dengan pelbagai perkara; ibu bapanya terbunuh semasa menentang Kyūbi no kyõko. Dah la membesar sebagai anak yatim piatu, malah hidup disisih oleh orang kampung. Tetapi Naruto memilih jalan kebaikan dan memposisikan diri menjadi hero.
Sementara Uchiha Sasuke juga membesar dalam keadaan diuji; seluruh clan dibunuh kerana merancang pengkhianatan dan juga hidup tersisih. Tetapi Sasuke memilih kegelapan dengan bersekutu dengan Madara/Obito dan menjadi villain dalam jalan cerita.

Pilihan di tangan kita.
Allah menilai setiap apa pilihan kita

Gunakan akal
Tetapkan hati
Doa banyak
Mintak petunjuk dari Allah.

Dengan kaca mata yang betul, ujian yang dilihat buruk pun akan dilihat sebagai benda yang baik sahaja, dengan keyakinan bahawa di sebalik setiap ujian ada rahmatNya

.

Terima kasih Yusry Yusopp, sempat berbual seketika di lewat malam.
Dalam keadaan tak boleh tidur, lepas baca ni aku terus tertidur dengan lenanya 😊

Hilmi Khairi

Susah tidur

Hilmi Khairi

Saturday, April 18, 2020

Workstation sementara

Hilmi Khairi

Setelah sekian lama sejak pindah, workstation akhirnya berjaya disetup.

Printer je takde. Boleh pulak tertinggal kat kampung 😅

Nota: abaikan game 'nintendo' pirate tu. Jangan risau. Sekadar buat sendal monitor bagi dia mendongak sikit. Nak adjust, kena pakai screwdriver pulak. Malas 😅😅


Friday, April 17, 2020

Rambut anak

Apabila rambut si anak langsung tak follow rambut si ayah.

Hilmi Khairi

Dah la terpacak-pacak lurus secara semulajadi tanpa perlu adjust guna gel rambut atau pomade.

Sekali tengok macam Son Gohan dalam Dragonball pun ada. Kalau warna putih dah macam Cloud Striffe dari Final Fantasy VII 😎

Mata dah le sepet.

Kulit je gelap. Kalau tak dah macam oppa dah 😆

Bak kata umi dia, macam pelayan laut dalam dari Okinawa pun ada jugak 😂

.

Tengah tunggu mesin rambut sampai.

Wednesday, April 15, 2020

Workout MCO

Hai, tengah buat apa tu?
Tengah nak workout ke??

😏😏😏

Haha





Aku Hanya Rindu


Tajuk: Hanya Rindu
Penyanyi Asal: Andmesh Kamaleng
Cover by: Voice of Men

Saat ku sendiri, ku lihat foto dan video
Bersamamu yang telah lama ku simpan
Hancur hati ini melihat semua gambar diri
Yang tak bisa, ku ulang kembali

Ku ingin saat ini, engkau ada di sini
Tertawa bersamaku, seperti dulu lagi
Walau hanya sebentar,
Tuhan tolong kabulkanlah
Bukannya diri ini tak terima kenyataan
Hati ini hanya rindu.

.

Sungguh.
Aku hanya teringat.
Bukan tidak menerima hakikat.
Apatah lagi untuk membentak melawan takdir.
Tetapi ingatan itu terlalu kuat

Namun aku belajar untuk redha
.

Ku harap ini Taqwa

"Semakin lama aku menghitung diriku dalam meniti jalan kehidupan, semakin aku sedar yang diri ini tidak layak untuk mendambakan syurga.

Namun pada masa yang sama, makin aku berharap agar aku dipilih untuk ke sana

Ku harap, moga inilah namanya taqwa"

#monolog

Tuesday, April 14, 2020

Wahai anak, moga istiqamah

Hilmi Khairi


Ayah bersyukur Allah panjangkan umur ayah setakat ni untuk menemanimu wahai anak

Masa ayah seusia kamu, arwah atuk kamu baru sahaja terlantar koma di atas katil sebelum meninggalkan ayah dua tahun kemudiannya, terkontang-kanting belajar berdikari tanpa haluan.

Alhamdulillah, pada saat ni, ayah masih lagi teguh berdiri menyaksikan kamu membesar.

Ayah bersaksi kamu anak yang baik dan lembut hati. Walaupun ada waktu datang malas dan perangai gila-gila dan gelong (yang pasti diwarisi dari perangai ayah 😁) yang menyebabkan umi kamu hampir bertukar jadi Hulk, tapi kamu tetap anak yang menyejukkan hati dan mata kami.

Pada saat ini, ayah berdoa;

Agar Allah panjangkan umur ayah dan ummi, beri kesihatan pada ayah dan ummi, agar kami dapat menemani mu sehingga besar dewasa. Menyaksikan kamu berjuang demi ummah.

Ya Allah, perkenankanlah munajat hambaMu ini.

.

Wahai anak, moga jalan hidupmu sentiasa ceria tiada sunyi, dan tidak juga terlalu berliku untuk dilalui.


Monday, April 13, 2020

Try selfie dengan filter

"Abang buat gambar ni sebagai profile picture, okay tak???" Sapa si suami, hampir nak tergelak besar.

"Toksah buat pasal abang!! It's so not you!!!!" Jawab si isteri sambil buat gaya geli geleman yang teramat sangat 🤢🤢🤢.

Hilmi Khairi

Macamana la boleh jadi 'jambu' dalam gambar ni wooiiii

#CeritaKami
#MCO3rdPhase



Tiada solat berjemaah sehingga hujung Mei 2020

Hilmi Khairi

Amalan malam

Hilmi Khairi

Sunday, April 12, 2020

Cell at Work!

Layan anime Cell at Work! sempena musim MCO ni.

Belajar tentang fungsi-fungsi sel dalam badan, termasuk tentang sistem badan melawan jangkitan.

Bagus jalan ceritanya. Penerangan saintifik yang senang nak dihadam

Asalnya nak bagi anak yang tengok
Tapi sekarang si ayah pulak yang terlebih layan 😅😆

Hilmi Khairi

Ilmu pisau terbang

Hilmi Khairi

Saturday, April 11, 2020

Malaysian MCO

Apakah antara indicator menunjukkan PKP dah mula beri kesan psikologi?

Apabila anak berkata dengan penuh excitement,

"Ayah, saya nampak burung merpati berak, ayah. Mari tengok!"

Burung 'membuang' pun telah menjadi sesuatu yang phenomenal.

Parah dah ni

😑



Nota: Ni anak-anak angkat si isteri. Ramai kan? Tengah tunggu mak angkat tabur beras waktu pagi-pagi nak dekat waktu syuruk

Ada tanda bakat untuk jadi penternak merpati yang berjaya lepas PKP ni 😆


Berdiam diri

Satu benda saya belajar baru-baru ini

Bila kita diamkan diri dalam perbalahan
Bila kita menahan diri dari mengambil tindakan balas

Allah sendiri akan memberi jawapan dan Allah sendiri mengambil tindakan balas

Moga beri Allah keampunan kepada kita semua.



Allah Taala berfirman,

Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan padamu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib” 

Surah Fussilat, ayat 34.


Wallahualam

.

Friday, April 10, 2020

Apabila Ansari bertanya (lagi)

"Ayah, poligami tu apa?"

Sekali lagi ayah hanya mampu memandang dengan terkebil-kebil.

Si ummi dah gelak dari dapur. Sungguh, dia tergelak.

"Dah dah. Ulang hafazan tu sekali round cepat. Kang dah nak call ustaz untuk tasmi' " ujar si ayah.

Malas nak bercerita 😑

#CeritaKami
#MCO

Bumi berehat

Hilmi Khairi

Hilmi Khairi

Hilmi Khairi



Wednesday, April 8, 2020

Malam ni malam Nisfu Syaaban
Mengikut pendapat Imam Syafie rah.a, malam ini adalah antara malam yang mustajab doa.

Kalau berkesempatan, selitkan nama saya yang faqir dan dhaif dalam doa kalian

😊

Hilmi Khairi



Apple Pen versi covid

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10222638045209997&id=1538671340

Monday, April 6, 2020

"Tunggul dan Paku" - Sebuah kisah dosa dan taubat

Hilmi Khairi

Cerita tauladan ni saya tak ingat samada pernah terdengar atau terbaca sekitar 17-20 tahun dulu. Tak ingat dari mana sumbernya, tetapi jalan ceritanya masih segar dalam ingatan hingga ke hari ni. Izinkan saya olah semula penulisannya. Jadi agak panjang sedikit 😅.

Kisahnya begini:

Dihikayatkan,

Pada suatu masa dahulu, di sebuah ceruk kampung. Ada seorang pemuda yang tinggal bersama datuknya.  Datuknya dikenali sebagai seorang yang warak dan soleh di kalangan penduduk kampung tersebut.

Namun benar sungguh bahawa istilah "iman itu tidak diwarisi". Cucunya tersebut pula mempunyai sifat yang berlawanan.

Jika datuknya dikenali sebagai seorang yang warak, cucunya pula persis syaitan yang terlepas di muka bumi. Hampir semua bentuk dosa pernah dilakukan. Sebut je namanya, pasti semua akan gerun, paling kurang akan berkerut.

Penduduk kampung yang lain kerap mengunjungi datuknya yang soleh, memintanya agar dapat menasihati akan cucunya itu. Dan dah berbuih dah nasihat yang diberikan, tetapi sedikit pun tak diendah.

Suatu hari, ketika si cucu tersandar di dinding luar rumah dalam keadaan separuh mabuk, datuknya datang ke sisi membawa sebatang tukul besi dan beberapa batang paku.

"Tak payahlah atuk nak nasihat lagi diri saya. Buang masa atuk je... hic! Lagipun ini memang diri yang sebenar.... hic! hic!" Kata si cucu sambil sendawa mabuk.

"Atau atuk nak pukul saya dengan tukul itu? Setakat atuk nak pukul, saya tak takut laaaa... hic! hic! hic!"

Datuknya memandang dengan wajah sayu sambil berkata,

"Atuk tidak berhasrat nak membebel nasihat akan kamu lagi, apatah lagi memukul kamu"

Si datuk kemudiannya berjalan ke arah satu tunggul pokok yang besar di hadapan tempat cucunya bersandar. Kemudian diambilnya tukul lalu diketukkan sebatang paku ke atas tunggul kayu tersebut.

"Dengar sini. Mulai hari ini, atuk takkan membicarakan lagi tentang dosa dan salah kamu. Namun setiap kali kamu membuat satu kesalahan, atuk akan tukulkan satu paku di sini."

"... Namun begitu, jika kamu dilihat membuat satu kebaikan, maka atuk akan cabut satu paku dari sini"

"Atuk dah nyanyuk ke hape? Hahahahahaa... hic! Suka hati atuk laa... hahahahahahaaaahic! hic!"

Si cucu yakin, datuknya telah gila dan membuat benda yang sia-sia.

Saban hari berlalu...

Pemuda tadi masih meneruskan kegiatan hariannya.. mencuri, berzina, mabuk, berjudi dan bermacam lagi perbuatan di kampung tersebut. Siapa tak kenal letua gangster kampung yang paling digeruni itu!

Dan saban hari itulah paku demi paku mula memenuhi tunggul kayu tersebut.

Dan bersilih waktu basah dek hujan dan panas dek terangnya mentari. Proses oksidasi besi paku mula berlaku...

Hinggalah pada suatu hari, pemuda tadi sedang bersandar di dinding rumah port kegemarannya, sambil menikmat tegukan arak, terus dari botolnya

Sedang dia mula ingin khayal, matanya tertancap ke atas tunggul kayu yang penuh dengan paku-paku berkarat.

Bulat matanya merenung.

Huduhnya

Buruknya

Jijiknya

Tiba-tiba terlintas dalam ingatannya akan bait-bait nasihat lama datuknya.

"Setiap dosa akan menyebabkan satu titik hitam atas hati. Makin banyak dosa, maka akan makin hitam hati tersebut"

"Agaknya... sebeginilah buruknya dan jijiknya hati aku"

Dia tertunduk berteleku. Botol arak terlepas dari tangannya sewaktu kedua-duanya beralih memegang kepalanya.

Tidak sempat dia untuk berkhayal

Dan tanpa sedar pipinya basah dengan air mata.

Bisikan hidayah mengetuk pintu hatinya

.

Si datuk mula hairan dengan perangai si cucu.

Cucunya sudah tak lagi sejahat dulu.

Dia kembali ke tikar sejadah pada setiap lima waktu.

Ada waktu dia membelek kitab Quran usang miliknya satu masa dahulu

Sambil perlahan-lahan cuba membacanya sambil duduk berteleku

Orang kampung juga datang mengadu

Si cucu tidak lagi seperti dahulu.

Mula kerap ke masjid di awal waktu.

Di majlis-majlis kenduri, dia kerap muncul membantu

Sehingga orang kampung membatu, nak bertanya pun jadi segan-silu.

Dan bagi menunaikan janji si datuk yang pernah diucapkan dahulu

Setiap satu kebaikan, akan dicabut satu paku.

Sehingga makin berkurang ia di atas tunggul kayu.
.

Sehinggalah di satu heningnya malam, tatkala si datuk  baru selesaikan tahajud dan berjalan melintas bilik tidur cucunya, dia terdengar satu bunyi.

Terkejut juga, disangkanya bunyi jin dan hantu!

Tapi bila diamatinya semula, dia mengenal akan suara itu.

Didekatkan telinganya ke dinding pintu.

"Ya Allah.. aku mengadu kepada mu akan segala dosaku.. aku mengaku salah akan segalanya.. dan aku sungguh-sungguh menyesali akannya... dan tiada sesiapa yang boleh mengampuni aku melainkan Engkau ya Allah. Maka dengan rahmatMu, ampunilah aku..."

Esakan tidak berhenti.

Air mata si datuk mengalir.

"Syukur ya Allah. HidayatMu telah kunjung tiba"

.

"Wahai cucu, mari ikut atuk kejap" sapa si datuk.

Si cucu mengikut. Mereka menuju ke luar.

Di hadapan tunggul kayu, hanya tinggal satu anak paku.

"Atuk sedar kamu telah banyak berubah. Dan hari ni mari kita saksikan paku terakhir yang bakal dicabut ini", kata si datuk sambil mencabut paku yang terakhir.

Selepas mencabutnya, datuk berpaling ke arah cucunya, mengharapkan si cucu akan gembira.

Tapi sebaliknya berlaku

Si cucu jatuh berlutut, kedua-dua tangan menekup mukanya sambil meraung.

"Astagfirullah.. kenapa menangis sebegini, bukankah sepatutnya kamu gembira"

"Memang benar, atuk. Semua paku telah dicabut. Tetapi...."

"Tetapi apa?" Datuknya mula kehairanan

"Atuk lihatlah ke arah tunggul itu" sambil jari menunjuk ke arahnya.

"Lihatlah tunggul tersebut yang sudah rosak berlubang-lubang kerana kesan paku...

"Lihatlah pada kesan-kesan karat yang tinggal"

Kedua-dua mereka menatap tunggul tersebut. Memang sudah tiada lagi paku. Tetapi tunggul tersebut tetap rosak dan ditinggalkan huduh berkarat yang kekal

"Atuk, adakah begitu rupa hati ku yang sekarang? Penuh dengan parut-parut dosa yang tidak kan sembuh??"

Sambung tangisan. Esakan masih keras.

"Ya Allah"

Si datuk memeluk cucunya. Berat sungguh rasa hati, hiba dengan penyesalan cucunya

"Wahai cucu... sesungguhnya Allah maha Pengasih... sesungguhnya Allah maha Pengasih... "

"Ketahuilah.. bahawa meskipun dosamu setinggi gunung sekalipun, rahmat Allah tetap melangit tinggi..."

"Akhir sekali, gunakan baki umurmu dari saat ini untuk menjadi hamba Allah yang berbakti. Moga ianya menebus silap mu yang silam"

Berpelukan mereka antara datuk dan cucu.
Ditemani cahaya mentari yang bersinar lembut.
Di bawah langit Ilahi.

.

Dan Allah berfirman,

 يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّـهَ يَجِدِ اللَّـهَ غَفُورًا رَّحِيمًا

"Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"

(Surah an-Nisa’: 110)

.

Moga bermanfaat 😊
Mari kita ambil peluang sempena MCO ini untuk muhasabah diri dan bertaubat atas segala dosa

Sungguh. Saya adalah pendosa.
Hanya kerana Allah menutup aib saya.
Sungguh. Saya menyesal.
Moga Allah membimbing saya.

Wallahualam

#nasihatuntukEngkaudanAku

.

p.s: bila baca balik, panjang pulak hai... 😅😅😅

Sunday, April 5, 2020

6th Ursa Major

Hilmi Khairi

Hari ni ada budak membuat plot-plot susunan bintang-bintang untuk constellation (buruj? unjuran bintang? entah, si ayah pun taktau terjemahan yang tepat) bagi 6th Ursa Major

Dia kata dia copy dari internet.

Si ayah ye kan je la 😅

.

"Nanti dah besar, saya nak belajar jadi astronomi"

"Bukan hari tu cakap nak jadi arkeologi ke?"

"Mula-mula belajar jadi arkeologi, lepas tu belajar astronomi, lepas tu saya nak belajar jadi ahli kimia"

"Amboi. Besar cita-cita awak. Nak belajar satu tu pun amik masa bertahun tau. Habis tu, syahadah Quran, pengajian alim dan daurah hadith bila pulak nak buat?"

"Ni semua saya nak belajar lepas daurah la ayah"

"Tapi...." kata-kata itu terhenti bila melihat bulat mata anak dengan penuh tanpa rasa bersalah.

"Ikut Ansari lah. Yang penting belajar betul-betul"

Tak sampai hati nak calarkan imaginasi dia. Biarkan masa yang mentarbiyah.

😊

.

Selalu jugak terfikir, bagaimana ilmuan Islam zaman Abbasiyah dulu boleh menguasai bidang yang pelbagai?

Ibnu Sina sebagai contoh. Seorang huffaz. Dan meskipun terkenal dengan penemuan dan kajian dalam bidang perubatan sehingga Qanun at Tibb beliau diangkat sebagai rujukan penting dalam dunia perubatan moden, tapi pada masa yang sama Ibnu Sina juga seorang yang mahsyur dalam bidang astronomi, alchemy, dan falsafah metafizik.

Apakah agaknya rahsia mereka dari zaman silam ni?

#CeritaKami
#sekadarcetuskanfikir
#somethingtoponder
#aktifkanminda
#stayathome
#staysafe
#MCO

Saturday, April 4, 2020

Ujian keazaman

"Abang berazam nak mula menulis secara serius hari ni"

"Ok,"

.

Selang beberapa jam.

"Abang kata nak mula menulis?"

"Ha...... ye....."

.

Selang lagi beberapa jam.

"Bila nak mula menulis?"

"Hujan...."

"😑"

.

Hahaha

Hilmi Khairi

Friday, April 3, 2020

Anak bertanya episod 2

"Ayah, nanti saya dah kahwin nanti, saya nak bagi anak saya nama apa ya?"

Si ayah yang selama ni gemar melayan soalan anak, kali ni dia hanya mampu terkebil-kebil, memandang dengan pandangan penuh sepi.

😐

.

Eleh, mandi pagi sebelum subuh pun takut nak kena berteman depan pintu bilik air, dah pandai cakap pasal kahwin dan ada anak 😅

#CeritaKami

Thursday, April 2, 2020

Layan perasaan

"Aku dah pesan. Jangan terlalu melayan perasaan,"

"Tetapi... kenapa...?"

"Sebab ianya adalah ujian,"

"....,"

"Dan sesungguhnya kehidupan kat dunia ini tak lebih dari sekadar ujian. Ujian untuk Allah nilai, apa yang ada dalam hati engkau,"

Mari kita menyumbang

Kita semua sebenarnya boleh menyumbang.

Waktu MCO ni setiap orang boleh main peranan masing-masing.

Tak semestinya semua nak kena jadi macam Ustaz Ebit Liew, jutawan yang menyalurkan sumbangan dan bantuan tanpa sedikit pun berkira. Yup, rata-rata kita semua M40 atau B40. Tak semua antara kita yang dapat kurniaan menjadi T20.

Nak jadi doktor, atau nurse, atau any Frontliners KKM.. hanya insan-insan hebat berhati waja sahaja yang terpilih dan berkelayakan. Sementara kita telah pun memilih karier lain sekian lama. Kalau nak join jadi volunteers pun belum tentu kita mampu.

Jadi apa patut buat?

Sumbanglah yang terbaik ikut bidang dan kemampuan kita.

Saya melihat rakan-rakan para guru bersemangat mengajar dan membina pelan pembelajaran secara virtual supaya dapat dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar secara jarak jauh.

Ada yang berkongsi aktiviti-aktiviti yang boleh dibuat di rumah masing-masing. Dari berkebun sampai ke part memasak.

Ada yang menulis dan menyebar perkara-perkara motivasi dan cuba menjadi inspirasi kepada orang lain.

Ada yang berkongsi aktiviti-aktiviti untuk anak-anak

Ada yang share dan forward benda-benda menarik yang menghiburkan, waima video kucing sekali pun 😁

Begitu jugak yang share amalan-amalan ibadah, bacaan doa dan zikir, kata-kata nasihat, tazkirah dan ingatan

Dan bermacam lagi yang boleh dibuat.

Yang penting ianya menyebarkan benda-benda positif dan kebaikan.

Moga segala kebaikan yang kita buat, hatta sekecil mana pun, dengan niat yang betul, diterima Allah sebagai amalan yang baik di sisiNya.

.

Kalau tak mampu untuk menjadi ejen penyebar kebaikan, maka berdiam itu lebih baik.

Rasulullah saw bersabda yang mafhumnya,

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia BERKATA YANG BAIK, atau DIAM"

(Hadith riwayat Imam Bukhari)

.

Sesungguhnya segala perkataan kita, baik secara lisan, mahupun tulisan, semuanya akan dihisab.

Moga Allah ampunkan saya dan kita semua.

#NasihatUntukEngkaudanAku

.

Nota: Paling kurang pun, jadilah kita orang yang sering menadah tangan dengan penuh kerendahan diri ke hadapan Allah Rabb sekalian alam.

Memohon keselamatan kita dan keluarga
Memohon keselamatan ke atas para Frontliners
Memohon keselamatan dan pengampunan atas kita dan sekalian ummat seluruh alam 😔

Wallahua'lam

Hilmi Khairi


Wednesday, April 1, 2020

Stigma masyarakat

(Kes Kementerian Wanita mengesyorkan isteri buat suara doraemon)

Stigma masyarakat yang perlu diperbetulkan.

1. Isteri kena taat suami. Kena gembirakan suami
2. Anak kena taat mak ayah. Kena ikut segala cakap mak ayah. Kena gembirakan mak ayah.
3. Anak murid kena ikut cakap guru.
4. Rakyat kena taat pemimpin

Ini biasa kita dengar.

Tapi yang kita jarang dendangkan:

1. Hak isteri yang suami wajib tunaikan. Termasuk bab menggembirakan dan membahagiakan
2. Hak anak-anak, termasuk untuk dapatkan didikan, kasih-sayang dan perasaan dihormati
3. Hak anak murid
4. Hak rakyat.

Dan banyak lagi.

Banyak perintah Allah dan sabdaan Nabi dalam memenuhi hak kedua-dua pihak.

Bukan satu pihak sahaja yang ada perintah ke atasnya, sementara satu pihak lagi goyang kaki tanpa sebarang tanggungjawab.

Untuk kesempurnaan hidup khususnya kehidupan berumahtangga, kita mesti resiprokal. Saling memberi dan menerima.

Takkan isteri je nak kena keluarkan suara Doraemon untuk hiburkan suami dan keluarga? 😅

.

Itu belum kita sembang bab lebih tinggi

Dinamakan sifat "ITSAR"

Sifat sentiasa mendahulukan dan mengutamakan orang lain.

Ini sifat Sahabat r.anhum ajmai'n

Takpe. Kita kasi hadam level bawah dulu.

😊

Wallahualam

Nota: Tapi kalau hang panggil aku Doraemon atas alasan sebab aku nampak bulat dan comel, siap hang!

Hilmi Khairi

Impian travel

Pernah menyimpan angan untuk travel sebegini. Belum kesampaian lagi.

Satu lagi teringin nak ke Antartica, naik kapal dari selatan Argentina.

Tapi tak pernah teringin nak ke US 😅

Hehe

Hilmi Khairi