Setiap daripada kita adalah musafir. Dan setiap perjalanan ada destinasi terakhir.
Monday, April 6, 2020
"Tunggul dan Paku" - Sebuah kisah dosa dan taubat
Cerita tauladan ni saya tak ingat samada pernah terdengar atau terbaca sekitar 17-20 tahun dulu. Tak ingat dari mana sumbernya, tetapi jalan ceritanya masih segar dalam ingatan hingga ke hari ni. Izinkan saya olah semula penulisannya. Jadi agak panjang sedikit 😅.
Kisahnya begini:
Dihikayatkan,
Pada suatu masa dahulu, di sebuah ceruk kampung. Ada seorang pemuda yang tinggal bersama datuknya. Datuknya dikenali sebagai seorang yang warak dan soleh di kalangan penduduk kampung tersebut.
Namun benar sungguh bahawa istilah "iman itu tidak diwarisi". Cucunya tersebut pula mempunyai sifat yang berlawanan.
Jika datuknya dikenali sebagai seorang yang warak, cucunya pula persis syaitan yang terlepas di muka bumi. Hampir semua bentuk dosa pernah dilakukan. Sebut je namanya, pasti semua akan gerun, paling kurang akan berkerut.
Penduduk kampung yang lain kerap mengunjungi datuknya yang soleh, memintanya agar dapat menasihati akan cucunya itu. Dan dah berbuih dah nasihat yang diberikan, tetapi sedikit pun tak diendah.
Suatu hari, ketika si cucu tersandar di dinding luar rumah dalam keadaan separuh mabuk, datuknya datang ke sisi membawa sebatang tukul besi dan beberapa batang paku.
"Tak payahlah atuk nak nasihat lagi diri saya. Buang masa atuk je... hic! Lagipun ini memang diri yang sebenar.... hic! hic!" Kata si cucu sambil sendawa mabuk.
"Atau atuk nak pukul saya dengan tukul itu? Setakat atuk nak pukul, saya tak takut laaaa... hic! hic! hic!"
Datuknya memandang dengan wajah sayu sambil berkata,
"Atuk tidak berhasrat nak membebel nasihat akan kamu lagi, apatah lagi memukul kamu"
Si datuk kemudiannya berjalan ke arah satu tunggul pokok yang besar di hadapan tempat cucunya bersandar. Kemudian diambilnya tukul lalu diketukkan sebatang paku ke atas tunggul kayu tersebut.
"Dengar sini. Mulai hari ini, atuk takkan membicarakan lagi tentang dosa dan salah kamu. Namun setiap kali kamu membuat satu kesalahan, atuk akan tukulkan satu paku di sini."
"... Namun begitu, jika kamu dilihat membuat satu kebaikan, maka atuk akan cabut satu paku dari sini"
"Atuk dah nyanyuk ke hape? Hahahahahaa... hic! Suka hati atuk laa... hahahahahahaaaahic! hic!"
Si cucu yakin, datuknya telah gila dan membuat benda yang sia-sia.
Saban hari berlalu...
Pemuda tadi masih meneruskan kegiatan hariannya.. mencuri, berzina, mabuk, berjudi dan bermacam lagi perbuatan di kampung tersebut. Siapa tak kenal letua gangster kampung yang paling digeruni itu!
Dan saban hari itulah paku demi paku mula memenuhi tunggul kayu tersebut.
Dan bersilih waktu basah dek hujan dan panas dek terangnya mentari. Proses oksidasi besi paku mula berlaku...
Hinggalah pada suatu hari, pemuda tadi sedang bersandar di dinding rumah port kegemarannya, sambil menikmat tegukan arak, terus dari botolnya
Sedang dia mula ingin khayal, matanya tertancap ke atas tunggul kayu yang penuh dengan paku-paku berkarat.
Bulat matanya merenung.
Huduhnya
Buruknya
Jijiknya
Tiba-tiba terlintas dalam ingatannya akan bait-bait nasihat lama datuknya.
"Setiap dosa akan menyebabkan satu titik hitam atas hati. Makin banyak dosa, maka akan makin hitam hati tersebut"
"Agaknya... sebeginilah buruknya dan jijiknya hati aku"
Dia tertunduk berteleku. Botol arak terlepas dari tangannya sewaktu kedua-duanya beralih memegang kepalanya.
Tidak sempat dia untuk berkhayal
Dan tanpa sedar pipinya basah dengan air mata.
Bisikan hidayah mengetuk pintu hatinya
.
Si datuk mula hairan dengan perangai si cucu.
Cucunya sudah tak lagi sejahat dulu.
Dia kembali ke tikar sejadah pada setiap lima waktu.
Ada waktu dia membelek kitab Quran usang miliknya satu masa dahulu
Sambil perlahan-lahan cuba membacanya sambil duduk berteleku
Orang kampung juga datang mengadu
Si cucu tidak lagi seperti dahulu.
Mula kerap ke masjid di awal waktu.
Di majlis-majlis kenduri, dia kerap muncul membantu
Sehingga orang kampung membatu, nak bertanya pun jadi segan-silu.
Dan bagi menunaikan janji si datuk yang pernah diucapkan dahulu
Setiap satu kebaikan, akan dicabut satu paku.
Sehingga makin berkurang ia di atas tunggul kayu.
.
Sehinggalah di satu heningnya malam, tatkala si datuk baru selesaikan tahajud dan berjalan melintas bilik tidur cucunya, dia terdengar satu bunyi.
Terkejut juga, disangkanya bunyi jin dan hantu!
Tapi bila diamatinya semula, dia mengenal akan suara itu.
Didekatkan telinganya ke dinding pintu.
"Ya Allah.. aku mengadu kepada mu akan segala dosaku.. aku mengaku salah akan segalanya.. dan aku sungguh-sungguh menyesali akannya... dan tiada sesiapa yang boleh mengampuni aku melainkan Engkau ya Allah. Maka dengan rahmatMu, ampunilah aku..."
Esakan tidak berhenti.
Air mata si datuk mengalir.
"Syukur ya Allah. HidayatMu telah kunjung tiba"
.
"Wahai cucu, mari ikut atuk kejap" sapa si datuk.
Si cucu mengikut. Mereka menuju ke luar.
Di hadapan tunggul kayu, hanya tinggal satu anak paku.
"Atuk sedar kamu telah banyak berubah. Dan hari ni mari kita saksikan paku terakhir yang bakal dicabut ini", kata si datuk sambil mencabut paku yang terakhir.
Selepas mencabutnya, datuk berpaling ke arah cucunya, mengharapkan si cucu akan gembira.
Tapi sebaliknya berlaku
Si cucu jatuh berlutut, kedua-dua tangan menekup mukanya sambil meraung.
"Astagfirullah.. kenapa menangis sebegini, bukankah sepatutnya kamu gembira"
"Memang benar, atuk. Semua paku telah dicabut. Tetapi...."
"Tetapi apa?" Datuknya mula kehairanan
"Atuk lihatlah ke arah tunggul itu" sambil jari menunjuk ke arahnya.
"Lihatlah tunggul tersebut yang sudah rosak berlubang-lubang kerana kesan paku...
"Lihatlah pada kesan-kesan karat yang tinggal"
Kedua-dua mereka menatap tunggul tersebut. Memang sudah tiada lagi paku. Tetapi tunggul tersebut tetap rosak dan ditinggalkan huduh berkarat yang kekal
"Atuk, adakah begitu rupa hati ku yang sekarang? Penuh dengan parut-parut dosa yang tidak kan sembuh??"
Sambung tangisan. Esakan masih keras.
"Ya Allah"
Si datuk memeluk cucunya. Berat sungguh rasa hati, hiba dengan penyesalan cucunya
"Wahai cucu... sesungguhnya Allah maha Pengasih... sesungguhnya Allah maha Pengasih... "
"Ketahuilah.. bahawa meskipun dosamu setinggi gunung sekalipun, rahmat Allah tetap melangit tinggi..."
"Akhir sekali, gunakan baki umurmu dari saat ini untuk menjadi hamba Allah yang berbakti. Moga ianya menebus silap mu yang silam"
Berpelukan mereka antara datuk dan cucu.
Ditemani cahaya mentari yang bersinar lembut.
Di bawah langit Ilahi.
.
Dan Allah berfirman,
يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّـهَ يَجِدِ اللَّـهَ غَفُورًا رَّحِيمًا
"Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"
(Surah an-Nisa’: 110)
.
Moga bermanfaat 😊
Mari kita ambil peluang sempena MCO ini untuk muhasabah diri dan bertaubat atas segala dosa
Sungguh. Saya adalah pendosa.
Hanya kerana Allah menutup aib saya.
Sungguh. Saya menyesal.
Moga Allah membimbing saya.
Wallahualam
#nasihatuntukEngkaudanAku
.
p.s: bila baca balik, panjang pulak hai... 😅😅😅
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment