Friday, June 19, 2020

Definisi kebaikan di dunia

Kita selalu baca doa ni, betul tak?

رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

"Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". (Surah Al-Baqarah: 201)

Semasa kita berdoa mintak kebaikan di dunia ini, apa yang selalu kita bayangkan?

Harta kekayaan?
Duit banyak?
Tanah dan bangunan?
Kereta yang besar?
Rumah mewah?
Pangkat dan jawatan?
Nama dan gelaran?

Tak salah tanggapan kita itu.

Cuma satu kesilapan yang biasa kita (baca: saya) buat.

Kita telah menyempitkan erti kebaikan dunia itu hanya pada benda material.

Akibat daripada definisi sempit itu, menyebabkan kita merasakan doa ini; yang kita telah hafal dan baca setiap hari dari zaman sekolah, dan juga doa yang acapkali dibaca oleh imam setiap kali solah berjemaah; tak kabul-kabul sampai ke saat ini.

Dan rentetan daripada itu kita menjadi insan yang tidak mensyukuri nikmat Allah yang telah sedia ada pada kita.

Definisi sempit itu juga menyebabkan kita sering meletakkan unsur material sebagai satu-satunya kayu ukur untuk menilai kejayaan diri sendiri dan orang lain. Secara tak langsung menghasilkan generasi masyarakat yang hanya berteraskan material duniawi semata.

Apakah definisi kebaikan dunia yang sebenar?

Saya ingin menukilkan tulisan Maulana Zakariyya al Kandhalawi rahmatullahi a'laih dalam membincangkan tentang ayat doa ini.

Beliau mengungkapkan bahawa tafsiran "kebaikan dunia" itu perlu dilihat daripada pemahaman para Sahabat dan tabiin.

Sebagai contoh,

Qatadah radiyaallahu a'nhu berkata, "kebaikan di dunia adalah keselamatan dan rezeki yang memadai"

Ali radiyallahu a'nhu berkata, "kebaikan dunia adalah isteri yang solehah"

Hasan Basri rahmatullahi a'laih berkata, "kebaikan dunia adalah ilmu dan ibadat"

Suddi rahmatullahi a'laih berkata, "kebaikan dunia adalah harta yang suci"

Abdullah bin Umar radiyallahu a'nhu berkata, "kebaikan dunia adalah anak-anak yang soleh dan pujian orang kepadanya"

Jaafar radiyaallahu a'nhu berkata, "kebaikan di dunia adalah kesihatan yang baik, rezeki yang cukup, memahami Kalamullah (Al Quran) dan kemenangan ke atas musuh, serta bergaul dengan para solehin"

Mari kita redefine semula maksud kebaikan dunia dalam paradigma kita.

Tak salah untuk kejar dan bina kejayaan dunia dari sudut material.

Saya juga mengimpikan dan bercita-cita akan benda yang sama. Teringin nak ada Range Rover warna biru gelap (ahaks 😅), rumah yang selesa, anak yang ramai, isteri pun ramai (eh... ok ini gurau sahaja 🤣).

Paling tidak pun, dengan secebis kekayaan yang dapat diusahakan dan dikurniakan Allah, dapat elakkan kita dari orang yang meminta-minta dan terpaksa buat wajah yang mengharap.

Bahkan banyak perintah Allah, hadith dan doa-doa yang diajar oleh Baginda Nabi sendiri untuk elakkan dari kemiskinan dan kefakiran.

Tapi kita kena ingat, benda material ini bukan satu-satunya kebaikan dunia yang kita kena hargai.

Tambahan pulak, bak kata firman Allah Taala sendiri sebagai ingatan kepada kita,

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٰتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَٰمِ وَٱلۡحَرۡثِۗ ذَٰلِكَ مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia; kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (Surah Ali Imran: 14)

Dan Allah juga berfirman,

فَمَا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِي ٱلۡأٓخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ

"Kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak." (Surah At-Tawbah: 38)

Wallahualam.

Salam Jumaat.
Moga hari ni terpilih untuk solat Jumaat di masjid.

#nasihatuntukdirisendiri


Wednesday, June 17, 2020

Masjid masih lengang

Tulisan oleh Abu Khaleef:

JEMPUTAN KHAS DARI SANG RAJA BUAT SI FAQIR

Alhamdulillah hari demi hari hati kita dihiburkan dengan berita2 gembira berkaitan pembukaan masjid dan jumlah kehadiran jemaah yg dibenarkan solat dalam setiap waktu. Ada beberapa negeri yang mula membenarkan solat Jumaat dan solat 5 waktu mengikut 1/3 kapasiti Masjid. 

MasyaAllah ini merupakan satu nikmat yang sangat besar buat hamba2 Allah swt yg fakir dan miskin, meraih segala kebaikan dan kurniaan bertamu di Rumah Sang Raja yang Maha Kaya lagi Maha Pemurah.

Malangnya, perasaan keterjuaan itu telah di kambus dgn kekecewaan apabila ramai dari rakan2 yg menyiarkan gambar2 suasana masjid mereka yang telah dibuka untuk solat 5 waktu tapi Ruangan Masjid yg begitu luas tetap kosong dan hambar. Tidak sama seperti pusat2 peranginan dan membeli belah yang mendapat sambutan mendadak sebaik sahaja dibuka. 

Dimana silapnya?

Mungkin jiwa umat islam dah mula layu lemah longlai setelah sekian lama dipisahkan dari Masjid, yang dulunya menjadi tempat jiwa disirami Rahmat dan Sakinah.

Atau mungkin ada yang mula rasa selesa solat di rumah bersama anak isteri dan menganggap solat di masjid tidak lagi penting (Non Essential). Paling2 tidakpun kewajipan Fardhu Kifayah telah disempurnakan oleh imam, ajk dan beberapa jemaah masjid yg lain.

Atau ada yang beralasan solat di masjid dalam keadaan distancing tak berapa cun sebab menyalahi sunnah, jadi baik solat di rumah je.

Walau apapun alasan yang kita beri, di saat Seruan Hayya Alas Solah (Marilah Solat) ditiup masuk ke dalam telinga kita.. apakah wajar kita mengabaikannya dgn alasan2 di atas?

Di susuli dgn Janji dari Allah swt bagi mereka yang menyahut jemputan tadi dgn Al Falah (Kejayaan). Masih lagi kita mengabaikannya?

Kalau kita sbg Suami panggil isteri kita, "Sayang.. Oo sayang.. mai jap.. Sayangg.. Marila sini.. Abang nk mintak tolong ni.. Sayanggg.. kalau sayang datang abang bagi hadiah special malam ni!!.."

Si isteri buat derrkk je.. Sibuk dgn h.phonenya.. apa perasaan kita..?

Kalau kita sbg ayah pulak panggil anak kita, "Adik.. Oo adik.. mai jap ayah nak cakap mende ni.. adikkk!!.. mai la kejap.. kalau adik datang sini Ayah bagi hadiah baik punyer!.."

Si anak membisu depan TV.. apa perasaan kita..?

Bagaimana pula perasaan Allah swt di saat hamba2Nya buat tak endah dgn panggilanNya?

Ada orang, bila dapat panggilan Haji, seronok sgt, sampai sembelih lembu buat jamuan kesyukuran..

Sepanjang kat mekah madinah tak pernah miss solat jemaah.. penat mcm manapun tetap bertenaga bila berjalan ke arah Masjidil Haram & Masjid Nabawi.. terasa begitu nikmat terpilih menjadi tetamu Allah swt..

Namun bila pulang ke kampung.. Azan berkumandang, Allah swt yg sama menunggu hamba2Nya datang bertamu ke RumahNya.. tapi langsung tak dihiraukan..

Sedangkan setiap kaki yg melangkah ke rumahNya Allah swt janjikan Keampunan Dosa, Ganjaran Pahala dan Ketinggian Darjat..

Bahkan sabda Rasulullah saw

“Siapa yang keluar dari rumahnya dengan keadaan bersuci menuju kepada Solat Fardhu maka pahalanya seperti pahala orang yang Berihram untuk menunaikan Haji"

Oleh itu sama2lah kita rebut peluang yang ada ini.. cukuplah selama hampir 3 bulan kita di sisihkan dari rumah Allah swt gara2 dosa kita yg lalu.. Jangan nikmat yg besar ini sekali lagi di tarik kembali gara2 kelalaian kita dlm mensyukuri kurniaanNya yg begitu besar ini.

Bagi yang berpeluang solat 5 waktu di masjid, doakan buat seluruh Umat Islam yang lain agar turut diberi peluang dan dipilih Allah swt. Bagi yang masih belum berpeluang, doalah sungguh2 agar Allah swt membuka pintu hati pemimpin agar Masjid segera dibuka kembali dan doa juga agar sentiasa diberi Taufiq dan Hidayah untuk menjadi Tetamu Tatap Allah swt.

#AbuKhaleef


Saya lah tu antara orangnya.

Dah mula rasa selesa solat berjemaah di rumah bersama isteri dan anak.

Rasa rindu ke masjid hanya tinggal sekadar perasaan.

Harapnya cepatlah Selangor buka kembali surau dan masjid. Sebelum rasa selesa ini menambat jasad daripada rajin kembali ke masjid.

Selesaikan bil TNB

Dah setelkan bil TNB.

So dah boleh makan durian dengan aman tenteram ke sekarang ni? 😆


Plot twist

Duit nak beli durian dah habis bayar bil TNB.

:nangis: 😭


Klinik kesihatan: new normal

Mari menunggu giliran.


Antara norma baru yang diperhatikan:

1. Ambil nombor giliran di pintu masuk dan perlu tunggu di luar untuk elakkan kesesakan dalam klinik.

2. Kalau ada kes gigi, kena call dulu untuk buat temujanji. Walk in hanya untuk kes kecemasan.

3. Pastikan ada QR code apps. Sebelum masuk, perlu register dulu dengan scan barcode yang disediakan dan isi form di link yang akan diberi

4. Antara soalan yang ditanya dalam survey; ada tak terlibat dalam merentas negeri baru-baru ini? Jawab je dengan jujur. Ini untuk saringan.

5. Panas sikit menunggu di luar. But at least bukan cofined space. Sesiapa nak hadir bawa orang tua atau kanak2 kena rancang dengan baik.

6. Berbanding waktu PKP, orang awam yang hadir ke klinik makin ramai.

#darahtinggi
#bloodtaking
#followupdoctor

Tuesday, June 16, 2020

Surah al Insyirah: Resepi kebahagiaan

Tujuh resepi kebahagiaan

1. Berlapang dada
2. Kurangkan dosa
3. Percakapan yang baik
4. Cari kebahagiaan dalam kesusahan
5. Selesaikan kerja dan jangan tangguh
6. Merancang
7. Mengadu kepada Allah

#bangkit


Tujuh resipi kebahagiaan berdasarkan Surah al-Insyiraah.

Satu, lapang dada. Dua, mengurangkan dosa. Tiga, sebut perkara baik (zikrul hasan). Empat, cari kebahagiaan dalam kesusahan.

Lima, selesaikan kerja dan jangan tangguh. Enam, merancang. Tujuh, mengadu kepada Allah.

Antara tujuh resipi itu, satu sahaja yang belum saya kongsikan iaitu ‘waila rabbika farghab – sentiasalah mengadu kepada Allah.’

Menurut Ustaz Fauwaz Fadzil, kita kena banyakkan sebut nama Allah SWT. Itu dipanggil ‘power of words.’ Kalau kita sebut nama Allah, kebahagiaan akan datang.

Insha-Allah kalau kita amalkan tujuh resipi ini, insha-Allah kita semua akan bahagia.

Ini resipi mujarab sebab datang daripada al-Quran. Kalau tak berkesan, tandanya kita yang salah acuan.

Menurut ustaz, di barat tajuk kebahagiaan ini sangat besar. Sehingga ada orang yang menulis buku, membuat lagu dan sebagainya untuk bahagia ‘happiness.’

Ya, semua orang mencari bahagia dan rupa-rupanya ada di dalam al-Quran. Subhanallah!

Oleh itu, kita kena ubah minda kita jadikan al-Quran sebagai metodologi. Bukan hanya semata-mata kitab yang dibaca tetapi ‘hudal linnas – petunjuk kepada manusia.’

Menurut ustaz, siapa yang rasa dirinya mendapat hidayah daripada al-Quran, dia telah melaksanakan tuntutan al-Quran.

Belajarlah al-Quran. Kalau tak belajar al-Quran kita tak akan jumpa dengan kebahagiaan.

Kita akan sentiasa tercari-cari seminar atau program yang katanya mampu memberi kebahagiaan tidak berkesudahan.

Harga seminar pula bukannya murah, malah ada sampai yang beribu, namun kebahagiaan hanya singgah sekejap ke dalam diri kita.

Lepas program, rasa bahagia itu hilang. Pergi seminar lagi, bayar lagi dan begitulah seterusnya tidak berkesudahan.

Menurut ustaz lagi, al-Quran seperti laut. Siapa yang duduk di tepi laut, dia dapatlah Ikan Sembilang.

Siapa yang masuk ke dalam sikit, dapatlah Ikan Bawal. Siapa yang masuk dalam lagi dapatlah mutiara.

Jadi, ada orang yang baca al-Quran untuk dapatkan ingatan yang kuat. Contohnya dia amalkan 90 kali, dia dapat, tak ada masalah.

Tapi kita nak dalami lagi kerana al-Quran ini adalah hidayah, manual kehidupan.

Al-Quran tidak kedekut memberi. Cuba kita ajak diri kita baca al-Quran, al-Quran akan berikan jawapan.

Ustaz menukilkan kata-kata Muhamad Iqbal, "bacalah al-Quran seperti mana al-Quran turun kepada kamu."

Baca. Kamu kata pada al-Quran. Al-Quran, tolonglah selesaikan masalah saya ini. Al-Quran akan datang kepada kamu.

Sebab al-Quran ini dicipta untuk semua orang. Bukan untuk orang Islam sahaja. Al-Quran adalah 'hudal linnas - petunjuk seluruh manusia.'

Hakim Darno,
Tamatlah cerita bahagia daripada Surah al-Insyiraah.

Musang King!

Pagi tadi Che'gu Zaidi JDai ajak joging kat Taman Metropolitan Batu.

Hasil joging kami, entah macamana boleh dapat pekena Musang King pulak 🤣

Dengan rasminya pada hari ni dapat Musang King Achievement Unlocked! Hahaha




Terima kasih Jdai sebab belanja

cc: Burn Mishani sila jangan jeles (Jdai suruh tulis ni 🤣🤣🤣)

Monday, June 15, 2020

Tulis untuk anak

"Ayah, ummi suruh tulis sesuatu untuk buku nota baru saya ni," kata si anak sambil menghulurkan buku tersebut kepada si ayah.


"Tulis sesuatu?" Tanya balik si ayah sambil menjeling kepada si isteri.

"Tulis je lah apa-apa bang. Kot-kot buku nota tu dia simpan sampai ke besar, ingat dia kat pesanan abang"

Berfikir kejap.

Ambil pen. Tulis.


Mungkin a bit too much for a 9 year old. Takpelah.

"Terima kasih ayah." Muka gembira.

Moga pesanan ni kamu ingat sampai bila-bila 😊

.

p.s: Si isteri cakap orang dalam gambar tu adalah si ayah tengah berjalan dengan si anak di tepi pantai 😍

Sikit je lagi


Dakwah secara hikmah tanpa sentap

Saya tidak bersetuju dan kurang gemar dengan kaedah sentap dan sindir dalam pembelajaan, latihan, apatah lagi dalam perkara mengajak orang lain kepada kebaikan dan agama. Apatah lagi dengan terus menjatuhkan hukum.

Pegangan saya, agama dan kebaikan itu hanya tersebar dengan kelembutan dan kasih sayang.

Firman Allah subhanahu wata'ala,

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

(Surah An-Nahl, ayat 125)


Mafhum hadith Nabi sollallahua'laihi wassallam,

“Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut. Dia mencintai sikap lemah lembut."

(Hadith riwayat Imam Muslim)


Kisah di bawah ini adalah contoh yang sangat baik untuk dijadikan sebagai tauladan. Kelembutan dalam dakwah yang menjadi asbab hidayat kepada orang lain.

Moga Allah bagi kita taufiq untuk menjadi orang yang bersifat sedemikian seperti yang pernah ditunjuki oleh Baginda Nabi sollallahua'laihi wassallam.



Sunday, June 14, 2020

Salah dan Betul


"Phlash Speed" 5

Kehadiran "Phlash Speed 5" membuatkan ramai para suami tetiba mengeluarkan pelbagai taktik untuk beli console PS5 ni.

Jadi air purifier lah, router lah, keluar tips untuk beli jiwa lah, "mintak maaf lebih mudah dari mintak izin" lah.

Berbeza kat rumah ni.

Kat sini, gamer yang sebenar adalah si isteri.
Ya, saya ulang. GAMER kat rumah ini adalah Noor Hayati 😆😆😆
PS3 ni dia yang beli 10 tahun lepas masa awal perkahwinan kami.
Saya tumpang main Call of Duty dan Assassin's Creed je.


Oh ya, dia jugak ada PSONE, PSX, PS2, PSP....
Hobi dia main game RPG (Harvest Moon, Dark Cloud, Final Fantasy, Kingdom Heart, Ninokuni, Metal Gear Solid, Assassin's Creed etc..)
Tapi bila lawan boss, dia selalu gugup sikit sebab tak boleh guna cheat code dalam PS3. Maka terpaksalah si suami samada jadi peneman atau tolong mainkan untuk dia waktu lawan bos.

Haha

PS4 masa keluar dulu nyaris tak beli.
PS5? Kali ni mungkin hanya mampu tengok la kot. Taktau la kot ada rezeki setahun dua ni 😊

Ada sesiapa nak beli PS5 tapi nak sorok dari pasangan boleh tumpang simpan kat rumah ni.

Free of charge

🤣

Saturday, June 13, 2020

Dumbell

Baru main yang 3kg dan buat workout untuk abs dah semput mintak nyawa oiii...


Ada orang belanja durian

Tengah ralit reply komen kat FB di kala petang hari sebegini. Tetiba dapat panggilan dari Fadzil Jamaludin kata nak singgah hantar barang.

Tu dia.. durian!


Padahal gurau-gurau je cakap kat FB 😆

Ciri-ciri orang beriman ni, dia memang tak nak kasi can dalam berbuat kebaikan.

Moga saya pun dapat sifat sebegini satu hari nanti insya Allah 😁😁😁

Ok. Sape lagi nak belanja?? Lai lai lai.. 🤣🤣🤣

Durian breed

Saya tak pernah merasa segala Musang King, Blackthorn, Raja Kunyit whatsoever.

Eh, kalau ada pun jenis special breed ni merasa, ada sekali je kot 2-3 tahun lepas. Tak berapa ingat.

Ada sesiapa nak belanja?

*buat muka comel*

🤣

Bil air PKP

Bil air dah diterima
Selama ni bil sekitar rm15 sebulan
Kali ni bil air untuk sebulan dekat rm100

Kalau nak kata bil air naik sebab duduk rumah sepanjang PKP,
Saya bedridden dari Disember kot. Memang duduk rumah.
Baru nak sihat, PKP bermula.
So memang tak logik.

Tunggu bil elektrik pulak belum kunjung sampai. Agaknya berapa ribu la pulak 😅

Adeih.

Apa patut buat? Report Tribunal Pengguna agak jalan tak?

Friday, June 12, 2020

Zikir: latihan membina Cinta

Orang yang bercinta,

Baru dengar nama si dia yang dicintai dah cukup untuk mendamaikan hati dah.

Apatah lagi kalau melihat kelibatnya. Tak semena-mena jantung berdegup laju.

Kalau dapat bertemu? Hilang semua kegelisahan dan rindu.

Ecewah.
Macam playboy pulak bunyinyaaa.. 😆

.

Zikir dan selawat adalah sebahagian daripada latihan untuk membina rasa cinta kepada Tuhan dan KekasihNya.

Melatih hati untuk sampai ke satu peringkat, dengan menyebut nama Tuhan yang Pengasih, mengingati kurniaan dan rahmatNya... hati yang gelisah gundah gulana akan menjadi tenang 😊


Harapnya tak lama lagi dapat kembali menjadi ahli masjid.

#gengsolatzohor

Hari Jumaat: Selawat dan Salam ke atas Nabi s.a.w.

Mafhum hadith Rasulullah s.a.w.,
"Jangan kamu jadikan kuburku seperti tempat perayaan, dan ucaplah selawat ke atas ku. Kerana sesungguhnya selawat kamu akan sampai kepadaku di mana sahaja kamu berada"
Dipetik daripada kitab Hisnul Muslim, hadith riwayat Imam Abu Daud dan Imam Ahmad.

Mari perbanyakkan selawat.
Pada hari Jumaat adalah hari pembacaan Surah al Kahfi dan memperbanyakkan selawat ke atas Baginda Nabi s.a.w

Disertakan di bawah selawat dan salam ke atas Baginda Nabi s.a.w yang paling ringkas dalam kitab selawat Durood Sharif himpunan Mulla Ali Qari rah.a.

Sama-sama kita amal insya Allah.



Salam Jumaat.

p/s: Korang solat Jumaat kat mana? Orang Selangor ada yang dapat surat undangan tak?

#salamJumaat

Wednesday, June 10, 2020

Kesenangan yang hadir bersama kesulitan

Memetik kata-kata Ibn Athoillah as-Sakandari dalam kitab Hikam ,
“Siapa yang tak nampak kelembutan Tuhan, kasih sayang tuhan, pada kekerasan takdirnya, dia masih jahil dengan Allah. Sesungguhnya Allah lembut dengan hamba-hamba-Nya.”
Terima kasih Ustaz Hakim Darno. Tulisan ini keluar, tepat pada masanya

😊

Saya merasa sangat puas kerana mendapat pandangan baru tentang ayat kelima dan keenam Surah al-Insyiraah.

‘Fainna ma’al ‘usri yusra. Inna ma’al ‘usri yusra – Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Inilah pentingnya untuk kita terus menambah ilmu.

Sebelum ini, keyakinan yang kita pegang ialah setiap kesusahan selepasnya kesenangan. Contohnya di dunia orang beriman akan susah, kemudian di akhirat akan senang.

Tapi kali ini versi yang lebih luas iaitu orang beriman tak perlu tunggu bahagia di akhirat, kerana di dunia lagi pun dah boleh bahagia.

Menurut Ustaz Fauwaz Fadzil, kita mesti mencari kebahagiaan dalam kesusahan. Majoriti ulama menafsirkan perkataan ‘ma’a – bersama’ itu adalah ‘ba’da – selepas.’

Maksudnya ialah mereka cuba menafsirkan, ‘sesungguhnya selepas kesusahan ada kesenangan.’ Lepas ini kita luaskan lagi penggunaannya dengan, ‘sesungguhnya carilah kebahagiaan bersama dengan kesusahan.’

Menurut ustaz lagi, dalam Bahasa Arab disebut ‘al-Aslu al-Haqiqah.’ Kekalkan kalimah ‘ma’iyyah – bersama.’ Tak perlu mentakwil kalimah ‘ma’a’ itu kepada ‘ba’da - selepas.’ 

Contohnya bila kita miskin, kita rasa bahagia dengan kemiskinan kita.

Bila kita jatuh bangkrap, kita bahagia dengan kejatuhan kita dan dalam apa sahaja keadaan sekali pun, (sekarang ini ekonomi kita teruk) kita tetap rasa bahagia.

Masalah kita sekarang ini ialah kita tak mencari kebahagiaan dalam kesusahan. Kita menunggu bahagia.

Tunggu kaya, baru bahagia. Tunggu pakai kereta besar, baru bahagia. Tunggu ada duit banyak, baru bahagia. Kita asyik tunggu itu dan ini.

Sebab itulah kita tak bahagia.

‘Fainna ma’al usri yusra – kesusahan itu bersama kesenangan.

Apabila bergaduh dengan isteri kita (kesusahan), maka dalam pergaduhan itu ada kebahagiaan. Sebab kita boleh belajar perkara baru. Kita dapat mengenali pasangan kita dengan lebih mendalam.

Menurut ustaz, orang yang bijak adalah orang yang pandang jauh ke hadapan. Dia boleh ucapkan terima kasih kepada musuhnya.

Kenapa pula nak terima kasih kepada musuh? Kerana daripada musuhlah kita dapat memperbaiki kelemahan diri kita.

Sebenarnya kesusahan yang kita lalui itulah yang jadikan kita bahagia.

Ustaz berikan contoh Oprah. Oprah ini sangat hebat, hartanya berbilion bilion ringgit.

Siapa yang pergi ke program dia akan dapat hadiah. Kadang-kadang dapat hadiah kereta. Nak cerita hebat tak hebatnya Oprah ini. Tetapi nak hebat macam Oprah, dia dirogol dulu.

Lalu, kesusahan (kena rogol) itu mencetuskan semangat yang luar biasa seperti yang dia jadi hari ini. Oprah ubah hidup dia.

Dia berazam, ‘Aku mesti tolong orang.’ Akhirnya Tuhan berikan kebahagiaan pada dia.

Walaupun dia bukan Islam. Tetapi dia menganggap pada  kesusahan itu ada kebahagiaan.

Berbeza dengan orang yang gagal, bila dia dirogol, dia tunduk kepada takdir. Dia tak cari pun kebahagiaan dan akhirnya dia stres hingga ke tua. Asyik mengeluh ‘nasib saya malang.’

Menurut ustaz, memetik kata-kata Ibn Athoillah as-Sakandari dalam kitab Hikam ,

“Siapa yang tak nampak kelembutan Tuhan, kasih sayang tuhan, pada kekerasan takdirnya, dia masih jahil dengan Allah. Sesungguhnya Allah lembut dengan hamba-hamba-Nya.”

Bila Allah turunkan bala, memang berat. Allah tak kata ringan.

Sebab itu orang yang beriman kena sebut ‘innalillahi wa inna ilaihi rajiun – sesungguhnya kami milik Allah dan kepada Allah tempat kembali.’ Terlalu berat sehingga kadang kadang buat kita menangis.

Mungkin Allah halang kita dapat apa yang kita nak untuk bagi yang lebih baik daripada itu. Halangan daripada Allah adalah kasih sayang Allah.

Sepanjang hidup kita, sudah pasti banyak perkara yang kita tak dapat nak capai. Malah Allah berikan keburukan pula kepada kita.

Bersyukurlah. Bertabahlah. Berbahagialah.

Hakim Darno,
Tadabbur kali ini sungguh memberi kesan pada jiwa saya. Jangan tunggu bahagia.
Ini adalah apa yang saya lalui selama 2 tahun ini sejak isteri kena mild stroke.









Alhamdulillah, Allah atur ramai sahabat yang tak putus-putus mendoakan, bagi kata-kata semangat, kerap bertanya khabar, melayan penulisan saya etc.

Cuma lima perkara yang saya belajar sepanjang dua tahun ni;

1. Jangan putus asa dengan rahmat Allah.

Kebanyakan peristiwa yang berlaku mungkin tidak mengikut kehendak dan perancangan kita. But end up, Allah akan zahirkan hikmah-hikmah kenapa ianya tidak berlaku seperti yang kita nak.

Perkemaskan doa kita. Tambah amal. Dekat diri dengan Allah

Waktu patah semangat sebegini, hanya Allah tempat kita berpaut.

2. Ramai sebenarnya orang yang turut diturut diuji. 

Kita rasa kita dah teruk dah. Tapi sebenarnya ramai lagi orang keliling kita yang diuji lebih teruk dari apa yang kita lalui.

Perhatikan dan belajar bagaimana mereka sabar dan tahammul dengan ujian mereka.

3. Raikan nikmat-nikmat sedia ada. Dan raikan kejayaan-kejayaan 'kecil' yang kita perolehi.

Kita mungkin tak dapat apa yang kita nak. Selalunya ini menyebabkan kita membutakan mata hati terhadap nikmat Allah yang sedia ada dan tidak menghargai kejayaan kecil yang kita perolehi.

Orang beriman, sentiasa mesyukuri nikmatiNya.

Janji Allah. Bila kita bersyukur, Allah akan tambah nikmat yang lebih baik.

4. Cakna dengan kawan-kawan kita.

Jangan sekali-kali terfikir, "Hek eleh, ini je ujian kau? Aku dulu lagi teruk... pun rilek aje"

Jangan sekali-kali label mereka yang telah burnout sebagai pemalas, tak nak berusaha etc.

Every case has its own circumstances. One sizes doesn't fit all.

Belajar empathy dan sympathy. Kita masing-masing ada jalan cerita yang berbeza.

5. Pentingnya berkawan dengan orang positif.

Sahabat yang baik ibarat tokey minyak wangi kasturi. Tak dapat minyak wanginya, kita masih terlekat dengan bau wangi kasturi itu.

Jangan malu mintak support.

Jangan lokek memberi support.

.

Insya Allah, dengan izinNya, saya akan kembali pulih dan bangkit sepenuhnya.

Doakan saya dan seluruh umat yang sedang diuji dengan kesulitan.

😊

Tuesday, June 9, 2020

Kembali berjiran


Dulu masa di 5th College UM kami berjiran.
Selepas 15 tahun, kami kembali berjiran 😆

Sila abaikan badan saya. Raya telah buatkan saya kembali montel 😆

Gambar montel tadi terus meninggalkan keinsafan.
Terus sarung kasut jap.
Kasi round pusing apartment amik angin malam


Lockdown Covid19: keunikan Malaysia

Malaysia ni unik.


Masa negara di kemuncak nak pertukaran kerajaan, ramai orang sibuk beratur kat lori Milo depan Istana Negara.

Masa di negara lain buat protes terhadap keputusan lockdown, kita sibuk dengan nak masak apa hari ini / masak apa tak jadi hari ini, tukang apa hari ini, pokok apa nak tanam dalam rumah, jadi youtuber, jadi imam dan khatib dalam rumah, berebut roti gardenia, sibuk shopping online.

Unik. Memang unik.

Kalau tak ada pergeseran politik yang bertunjangkan kaum dan bangsa, memang dah level utopia dah Malaysia ni.

Nota: gambar ni ntah ye ntah idak ada protes atas lockdown. Tapi kat US memang ketara anti lockdown nya


Iklan: Lembu korban

Saya ada kenal seorang doktor di sekitar Taman Batu, Kuala Lumpur.  Nama beliau Dr Rafik, ada klinik sendiri dan agak disegani di kawasan perumahan beliau.

Beliau jugak ada ladang lembu. Sehari suntuk kalau di rumahnya, segala kopi dan teh yang dihidang dimasak bersama dengan susu segar.

Memandangkan PM dah bagi greenlight untuk ibadah korban, sesiapa yang mungkin mencari lembu atau kambing samada secara individu, atau bagi pihak organisasi (surau/masjid/NGO) bolehlah contact direct dengan beliau.

Dr Rafik 013-3549624




Apakah hakikat Ilmu?

Apakah hakikat sebenar ilmu dalam Islam?

Guru saya pernah bagi jawapan yang mudah. Hakikat atau maksud ilmu adalah untuk kenal Allah dan apa kehendakNya ke atas kita.

Ilmu tanpa ma'rifatullah, adalah ibarat orang yang ada pakar tentang epal.

Dia boleh bercerita tentang bagaimana rupa sebijik epal, kulit dia licin macamana, tesktur dia macamana, rasa dia macamana.

Malah dia boleh bercerita spesis-spesis variasi epal, jenis-jenis epal. Macamana nak tanamnya, bila musim buahnya, baja yang sesuai etc etc...

Pendek kata dah macam orang yang ada Ph.D dalam bab buah epal. Semua dia boleh hurai dan hujah. 😅

Tetapi apabila ditanya, "Tuan dah pernah makan dan rasa epal tu?"

"Tak pernah"

😑

Selagi dia tak merasa sendiri buah epal itu, macamana dia nak dapat kenal hakikat kesedapan sebijik epal?

Begitulah juga orang yang mengejar ilmu tetapi tidak dapat kemanisan ilmu itu dalam beramal dan berusaha mendapat redhaNya

Ini adalah kerana ilmu agama itu ada dua jenis.

Satu hanya setakat di lidah. Hanya mampu dijadikan untuk berhujah.

Sementara satu lagi ianya akan terus ke hati, dan kemudiannya dapat dizahirkan dalam amalan dan perwatakan harian.

Maka mari kita sama-sama usahakan untuk:

1. Selalu bercerita tentang kepentingan ilmu kepada orang lain, agar kita sendiri sedar pentingnya untuk ada ilmu.
2. Sentiasa menambah ilmu kita tanpa jemu.
3. Segera mengamalkan ilmu baru yang kita dapat.
4. Sentiasa memperbaiki diri
5. Mendekati orang-orang alim dan ulama', khususnya yang mursyid dan thiqah. Jadikan mereka tempat rujukan kita.
6. Jangan pula meninggi diri. Ilmu yang benar sepatutnya menjadikan kita lebih merendah diri.
7. Doa mintak Allah bagi kita hakikat ilmu yang benar di sisi Allah


Monday, June 8, 2020

Nama ada huruf H


Ini adalah fakta.
Tak perlu disangkal lagi.

Saya ulang.
Ini adalah fakta!!

#hahahahahaha

Mythbuster: Kura-kura dan cengkerang

Ada terlintas kat wall posting berulang tentang perumpamaan orang ramai yang excited nak balik kampung dan bercuti, ibarat seekor kura-kura yang keluar dari cengkerangnya.


Sebagai seorang pemegang ijazah sains dalam biologi (alam sekitar), terpaksa lah saya patahkan imaginasi tuan-puan semua.

Kura-kura, secara fitrah kejadiannya memang tak akan boleh keluar dari cengkerang dia.

Ini adalah disebabkan cengkerang dia adalah sebahagian dari badan dia.


Harap maklum.

Bak kata Dr Hilyah (Lily Mk) (biologist level Ph.D) ada orang suggest kena tukar kepada hermit crab. Tu baru betul boleh terjadi 😆

#donepembaris

PKPP: Terima kasih Frontliners

Terima kasih buat para Frontliners.


Yang menjaga kaunter saringan
Yang merawat pesakit covid-19
Yang bertugas di klinik dan hospital
Yang jaga roadblock dan buat rondaan
Yang menghidupkan masjid waktu sekatan
Yang menghantar makanan dan barangan
Yang buat kerja pembersihan
Yang masih hadir bekerja kerana tuntutan
Yang kekal mendidik walaupun penuh keterbatasan
Yang berkeriut dahi membuat keputusan
Yang terpaksa berhadapan dengan risiko jangkitan dalam skop kerja mereka
Dan mereka yang menjadi support kepada Frontliners
Dan mereka yang mungkin lupa disebut kerana khilaf pada diri ini.
Di mana jua anda berada

Hanya ALLAH yang mampu membalas jasa baik khidmat kalian.
😊

Kita belum menang sepenuhnya
Tetapi sekurang-kurangnya sudah kelihatan sinar setelah sekian lama sirna.
Jangan terlalu ghairah. Teruskan bersederhana
Insya Allah, Allah bersama kita

#ALLAHjagakita

Ayam goreng


Sunday, June 7, 2020

Langit malam tanpa bulan

Langit berawan penuh.

Sejak Disember, tak pernah miss dapat tengok bulan penuh.

Kali ni langsung tak nampak apa.

#mengharapmelihatlangityangsama
#sekalisekalateringat
#dahlamamoveondah
#sekadarmenilaisejauhmanamoveonitu

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan

PKPP: Apa yang korang nak buat?

Balik kampung?

Saya pulak teringin nak tengok laut.
Duduk tepi pantai puas-puas.
Sambil dengar deruan ombak.


Haish rindu pulak

Menteri Agama: industri nasyid