Saturday, June 6, 2020

Syarat bahagia: percakapan yang positif

Percakapan positif sebagai syarat untuk bahagia.

Ini menguatkan lagi keyakinan saya betapa pentingnya untuk kita menjaga lidah dan percakapan seharian kita.

Ianya boleh mempengaruhi iman kita


Oleh Ustaz Hakim Darno:

Menurut Ustaz Fauwaz Fadzil, syarat ketiga nak bahagia mengikut surah al-Insyiraah (ayat 4) ialah,

‘Warafa’na la ka zikrak – Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?

Menurut ustaz, ini adalah kaedah yang sangat penting iaitu  ‘az-zikrul hasan – selalu menyebut perkara yang baik.’

Rupa rupanya perkataan yang tak baik memberikan tekanan (stres) kepada kita.

Kebanyakan kita stres, bukan sebab gaji tak cukup, tapi sebab perkataan yang tak baik.

Pergi tempat kerja kawan kutuk kita, bos tak suka dan balik rumah pula isteri sebut perkataan-perkataan yang tak elok.

Nabi tak stres sebab Allah sentiasa sebut perkataan yang baik kepada Nabi.

Sebab itu, kalau nak ubah rumah tangga kita, pejabat kita atau di mana sahaja, kita mulakan dengan perkataan yang baik.

Walaupun kita tahu, orang lain yang bersalah.

Sebab semua orang mencari kebahagiaan. Jadi kita kena rawat diri masing-masing.

Dalam kehidupan ini, bila kita sebut perkataan-perkataan yang baik, secara automatik semuanya akan jadi baik.

Sekejap sahaja musuh menjadi kawan.

Kalau tak percaya, mulai hari ini, kita cuba sebut perkataan yang baik kepada isteri, kawan, jiran dan orang yang berada di sekeliling kita, kita tengok reaksi mereka macam mana.

Subhanallah! Kita akan rasa tenang sahaja walaupun kita banyak masalah di pejabat.

Balik rumah pula, isteri panggil dengan panggilan yang menyenangkan dan berikan senyuman yang manis, lagilah bertambah ceria.

Penat bekerja seharian (lapan jam) itu terus hilang.

Tanpa kita sedar, yang buat suami kita penat sebenarnya ialah bila isteri buat muka masam, marah-marah dan berleter.

Ya, kita tahu, suami kita salah. Tetapi perkataan yang tak baik itu menyebabkan dia ‘down.’ Jadi akhirnya tak dapat ‘natijah – hasil’ yang baik.

Sekadar contoh.

Untuk mendapatkan kebahagiaan, kita semua kena bekerjasama mula dengan perkataan yang mulia.

Ketika di tempat kerja contohnya, kita sebut pada staf dan bos perkataan yang baik.

Bayangkan, kalau kita semua berubah, masyarakat kita sebut perkataan yang baik belaka, semua akan rasa seronok dan bahagia.

Hatta kita berhadapan dengan orang yang berdosa sekalipun, contohnya tak sembahyang, mencuri dan tak puasa, kita masih melayan mereka dengan baik kerana kita yakin bahawa Allah akan berikan petunjuk.

Silap silap mereka lebih baik daripada kita.

Jadi, macam mana nak jadikan kita orang yang bercakap baik?

Kata ustaz, kita kena buat baik. Barulah kita akan diangkat kedudukannya oleh Allah dan masyarakat.

Hakim Darno,
Sebarkan kebahagiaan.

No comments:

Post a Comment