Monday, June 1, 2020

Hilangkan kesombongan


Suatu hari seorang ayah berjalan bersama dengan anaknya. Semasa mereka berjalan, tiba tiba ada seorang lelaki miskin datang ke arah mereka meminta sedekah.

Si ayah pun menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan sekeping kertas berwarna merah.

Si ayah pun memberikan kepada anaknya, dan meminta anaknya berikan kepada lelaki miskin tadi.

Lelaki miskin itu pun senyum sambil tertunduk tunduk sebagai tanda terima kasih dan berlalu pergi.

Si ayah pun memulakan perbualan. Kamu nampak tak orang miskin tadi? Nampak! Kenapa ayah?

Walaupun dia miskin, jangan sesekali memandang rendah dan hina kepada dia. Jangan rasa kita lebih baik daripada dia sebab, itu dah sombong namanya.

Kamu ingat tak kisah dalam Surah al-Kahfi tentang dua orang lelaki. Si Kaya dan Si Miskin. Mana satu yang beriman? Si Miskin. Yang mana Allah binasakan? Si Kaya.

Kenapa? Sebab Si Kaya rasa lebih baik daripada Si Miskin.

Cuba kamu lihat sikap Si Miskin. Dia tak rasa terhina pun dengan keadaan dia. Siap berdakwah lagi ingatkan kepada Si Kaya. Kamu ini dah jauh daripada Allah.

Oleh sebab itu, kita kena betulkan pandangan kita. Bila kita berjumpa dengan orang miskin, mungkin dia lebih baik daripada kita kerana dia reda dan sabar.

Jadi bila kita jumpa orang miskin, kita rasa lebih baik daripada dia salahlah. Dalam hidup ini kita tidak boleh sombong.

Firman Allah SWT maksudnya:

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”

Surah al-Israa’ 17: 37.

Tuhan tak kata jangan sombong semata mata, tetapi jangan ‘berjalan sombong’.

Maknanya kalau duduk, sombong boleh tak? Baring sombong boleh tak? Kan Tuhan kata jangan ‘berjalan sombong’, maknanya duduk sombong bolehlah?

Si ayah menguji anaknya.

Berkerut-kerut dahi anaknya memikirkan jawapan. Oklah, agak agak mengapa tuhan kata jangan ‘berjalan sombong’?

Entahlah.

Ok. Inilah kehebatan bahasa al-Quran. Al-Quran menggunakan bahasa  yang sangat tepat.

Bilakah waktu manusia nampak sombong? Maksudnya tertonjol kesombongannya? Ketika berjalanlah.

Kalau duduk, tak nampak sangat. Kalau baring lagilah tak nampak. Bukan bermaksud baring dan duduk boleh sombong, tapi nak tengok orang itu sombong atau tak, ketika dia berjalan.

Sama ada manusia itu berjalan kaki atau ‘berjalan’ menggunakan kereta.

Mentang mentang naik kereta besar, laju sahaja tak hormat pada orang yang naik motor dan pejalan kaki.

Ok berjalan sombong pula macam mana? Kalau kita berjalan jumpa orang tak senyum, sombonglah tu.

Jumpa orang tak bagi salam, sombonglah tu. Jumpa orang miskin, buat buat tak tahu, sombonglah itu.

Kamu kena ingat, harta yang kita ada ini bukanlah nikmat sebenarnya, tetapi satu ujian.

Kan Allah kata “Innama amwalukum wa awladukum fitnah - Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian”.

Habis itu selama ini kita ingat harta itu nikmat. Salahlah? Ye salah sebab harta bukan nikmat, harta adalah ujian.

Kalau harta itu nikmat, kiranya Qarun dapat nikmatlah? Sebab itu jawapannya tak. Kerana hartalah Qarun menjadi kafir.

Habis tu ayah, bukankah selalu kita dapat harta lalu kita pun bersyukur, bukankah itu nikmat?

Ok bagus soalan kamu tu, yang mana satu nikmat sebenarnya, bersyukur ke harta? Yang nikmat itu adalah apabila kita bersyukur.

Sebab itu, cara bersyukur yang betul ialah bila kita dapat harta kita gunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Kita dapat beli kereta baru, kita pun bawa ke masjid dan majlis ilmu. Kita dapat anak, kita kena didik dia menjadi orang yang soleh dan solehah.

Macam itulah … ok dah jom kita sambung perjalanan kita.

Hakim Darno,
Kita semua manusia biasa.

No comments:

Post a Comment