Tujuh resepi kebahagiaan
1. Berlapang dada
2. Kurangkan dosa
3. Percakapan yang baik
4. Cari kebahagiaan dalam kesusahan
5. Selesaikan kerja dan jangan tangguh
6. Merancang
7. Mengadu kepada Allah
#bangkit
Tujuh resipi kebahagiaan berdasarkan Surah al-Insyiraah.
Satu, lapang dada. Dua, mengurangkan dosa. Tiga, sebut perkara baik (zikrul hasan). Empat, cari kebahagiaan dalam kesusahan.
Lima, selesaikan kerja dan jangan tangguh. Enam, merancang. Tujuh, mengadu kepada Allah.
Antara tujuh resipi itu, satu sahaja yang belum saya kongsikan iaitu ‘waila rabbika farghab – sentiasalah mengadu kepada Allah.’
Menurut Ustaz Fauwaz Fadzil, kita kena banyakkan sebut nama Allah SWT. Itu dipanggil ‘power of words.’ Kalau kita sebut nama Allah, kebahagiaan akan datang.
Insha-Allah kalau kita amalkan tujuh resipi ini, insha-Allah kita semua akan bahagia.
Ini resipi mujarab sebab datang daripada al-Quran. Kalau tak berkesan, tandanya kita yang salah acuan.
Menurut ustaz, di barat tajuk kebahagiaan ini sangat besar. Sehingga ada orang yang menulis buku, membuat lagu dan sebagainya untuk bahagia ‘happiness.’
Ya, semua orang mencari bahagia dan rupa-rupanya ada di dalam al-Quran. Subhanallah!
Oleh itu, kita kena ubah minda kita jadikan al-Quran sebagai metodologi. Bukan hanya semata-mata kitab yang dibaca tetapi ‘hudal linnas – petunjuk kepada manusia.’
Menurut ustaz, siapa yang rasa dirinya mendapat hidayah daripada al-Quran, dia telah melaksanakan tuntutan al-Quran.
Belajarlah al-Quran. Kalau tak belajar al-Quran kita tak akan jumpa dengan kebahagiaan.
Kita akan sentiasa tercari-cari seminar atau program yang katanya mampu memberi kebahagiaan tidak berkesudahan.
Harga seminar pula bukannya murah, malah ada sampai yang beribu, namun kebahagiaan hanya singgah sekejap ke dalam diri kita.
Lepas program, rasa bahagia itu hilang. Pergi seminar lagi, bayar lagi dan begitulah seterusnya tidak berkesudahan.
Menurut ustaz lagi, al-Quran seperti laut. Siapa yang duduk di tepi laut, dia dapatlah Ikan Sembilang.
Siapa yang masuk ke dalam sikit, dapatlah Ikan Bawal. Siapa yang masuk dalam lagi dapatlah mutiara.
Jadi, ada orang yang baca al-Quran untuk dapatkan ingatan yang kuat. Contohnya dia amalkan 90 kali, dia dapat, tak ada masalah.
Tapi kita nak dalami lagi kerana al-Quran ini adalah hidayah, manual kehidupan.
Al-Quran tidak kedekut memberi. Cuba kita ajak diri kita baca al-Quran, al-Quran akan berikan jawapan.
Ustaz menukilkan kata-kata Muhamad Iqbal, "bacalah al-Quran seperti mana al-Quran turun kepada kamu."
Baca. Kamu kata pada al-Quran. Al-Quran, tolonglah selesaikan masalah saya ini. Al-Quran akan datang kepada kamu.
Sebab al-Quran ini dicipta untuk semua orang. Bukan untuk orang Islam sahaja. Al-Quran adalah 'hudal linnas - petunjuk seluruh manusia.'
Hakim Darno,
Tamatlah cerita bahagia daripada Surah al-Insyiraah.

No comments:
Post a Comment