Monday, May 18, 2020

Dilema ekonomi era covid-19

Membaca tulisan Mat Rodi tentang dilema ekonomi sekarang.


“Rodi, how bad ekonomi kita sekarang disebabkan Covid-19?” Ini antara persoalan yang sering ditanya oleh rakan-rakan.

Secara ringkasnya, kita sekarang berada di dalam krisis ekonomi. Cumanya teruk mana?

1. 71.4% mereka yang bekerja sendiri seperti watak Mak Cik Kiah penjual goreng pisang, Pak Cik jual tembikai dalam rumah yang viral dan jurugambar kahwin yang ‘one man show’ mempunyai simpanan kurang dari sebulan.

Terdapat 2.8 juta pekerja seperti mereka ini dan mereka tidak mendapat apa-apa bantuan tunai atau subsidi upah daripada kerajaan. Sudah pasti keadaan sekarang adalah teruk bagi ekonomi mereka.

2. Sektor runcit (retail) dianggarkan jatuh sebanyak 5.5% pada tahun ini. Ini bersamaan sebanyak RM10.9 bilion.

Senang cerita RM10.9 bilion ‘hilang’ daripada pendapatan sektor runcit seperti penjual barang kemas, perabot, barang dapur sehinggalah ke produk kecantikan.

Ini kali pertama sektor ini jatuh sejak krisis kewangan Asia 1998.

Tidak hairanlah gedung pakaian seperti Esprit telah menutup kesemua cawangan mereka di Malaysia. Kedai tutup, pekerjaan lingkup.

3. Seperti diketahui ramai, terdapat berpuluh hotel telah pun menghentikan operasi mereka.

Nama besar seperti G Tower, Park Royal KL, Ramada Melaka, dan Mercure Penang antara yang telah tersungkur. Gergasi seperti Hilton KL juga telah mula mengurangkan pekerja.

Kekurangan tempahan bilik (atau tiada langsung), ketiadaan pendapatan daripada F&B, bilik mesyuarat dan dewan majlis menyumbang kepada kerugian sebanyak RM3.3 bilion bagi sektor perhotelan di Malaysia. Dan ini hanyalah sehingga Jun 2020.

4. Industri besi dan keluli mencatatkan kerugian RM3.2 bilion sebulan ekoran perintah berkurung.

Kerugian ini tetap perlu ditanggung walaupun kilang-kilang sudah boleh mula beroperasi.

5. 7 daripada 10 syarikat di Malaysia kehilangan pendapatan (atau zero income) sepanjang PKP.

Mereka hanya mampu bertahan selama 1-2 bulan sahaja kerana kekurangan sumber pendapatan.

Ini mengakibatkan lebih 50% syarikat mengambil keputusan untuk mengecilkan operasi (baca: membuang pekerja) dan mengurangkan kos dalam memastikan kelangsungan hidup.

6. Tidak hairanlah kadar pengangguran pada Mac 2020 adalah 3.9% iaitu kadar tertinggi sejak 10 tahun. Kadar ini akan meningkat melebihi 4%.

Setakat ini, Malaysia mempunyai lebih 610,000 pengganggur dan dijangkakan akan meningkat kepada 1.46 juta menjelang akhir tahun.

Ini tidak termasuk 500,000 graduan dan tenaga buruh baru yang memasuki pasaran kerja. Ke mana mereka mahu pergi bekerja?

7. Itu berkenaan dengan pekerjaan. Bagaimana pula dengan pendapatan kerajaan?

Belanjawan 2020 dibuat berdasarkan harga minyak sebanyak USD62 setong. Hari ini minyak setong diniagakan sekitar USD20.

Kejatuhan harga minyak pastilah mengurangkan pendapatan kerajaan. Setiap USD1 yang jatuh mengakibatkan kerajaan hilang RM 300 juta.

Jika kerajaan kurang wang dan terpaksa memotong peebelanjaan, siapakah yang akan terus berbelanja untuk ekonomi?

Orang ramai? Mereka tiada kerja.
Syarikat swasta? Mereka tiada bisnes.
Kerajaan? Mereka kurang pendapatan.

Ini antara beberapa fakta mengenai apa yang terjadi kepada ekonomi Malaysia. Ianya cukup memberitahu kita bahawa ekonomi Malaysia sedang berada di dalam krisis.

Di peringkat global, International Monetary Fund (IMF) memberitahu ekonomi dunia akan jatuh sebanayk 3%.

Kejatuhan ini 4 kali ganda lebih teruk berbanding Krisis Kewangan Global 2009.

Ini tidak menghairankan kerana pada masa yang sama kita menghadapi ancaman krisis kesihatan. Covid-19 menghalang pergerakan orang ramai dan mengurangkan 'consumption' di dalam ekonomi.

Ini sekaligus menjadikan krisis ekonomi sekarang adalah berbeza dengan mana-mana kegawatan ekonomi sebelum ini.

Selagi tiada vaksin, tidak ada solusi ekonomi yang boleh mengembalikan 'consumption' ke paras asal sebelum Covid-19.

Kerajaan boleh sahaja merangsang ekonomi dengan apa jua bentuk insentif atau bantuan.

Sektor korporat juga boleh memperkenalkan 1001 SOP bagi menghadapi 'normal baharu' ini.

Namun hakikatnya, orang ramai tetap berhati-hati untuk  keluar bekerja, bercuti dan berbelanja kerana risau dijangkiti virus.

Nak selamatkan nyawa, ekonomi mungkin mati.

Nak selamatkan ekonomi, nyawa mungkin terkorban.

Inilah dilema ekonomi baru.

Radzi Tajuddin
Bekas Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN)

No comments:

Post a Comment