Tuesday, May 19, 2020

Malam ke-27 Ramadhan

[Maaf atas kelewatan]

Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, *jumhur ulama* berpendapat bahawa *malam ke-27* merupakan malam yang lebih diharapkan berlakunya Lailatul Qadr.

Bukan ulama sahaja, bahkan di sisi kebanyakan orang awam pun sama juga. Bahkan Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan daripada beberapa kitab mazhab Hanafi bahawa sekiranya seseorang berkata kepada isterinya: “Kamu ditalaq pada malam Lailatul Qadr”, maka tertalaqlah isterinya pada malam ke-27 kerana kebanyakan orang awam menganggap malam Lailatul Qadr ialah malam ke-27.

Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan bahawa malam ke-27 ialah malam yang lebih diharapkan berlakunya Lailatul Qadr. Antaranya:

1. *Hadis riwayat Muslim* daripada Zirr Ibn Hubaisy, beliau berkata:

“Aku telah bertanya kepada Ubayy Ibn Ka’b رضي الله عنه, lalu aku berkata: Sesungguhnya saudaramu iaitu Ibn Mas’ud رضي الله عنه berkata: Sesiapa yang bangun (malam) sepanjang tahun, dia mendapat Lailatul Qadr. Lantas Ubay Ibn Ka’b رضي الله عنه menjawab: Semoga Allah merahmatinya (Ibn Mas’ud). Beliau sebenarnya berkata sedemikian supaya orang ramai tidak bergantung kepada malam-malam tertentu. Sesungguhnya beliau sendiri telah mengetahui bahawa Lailatul Qadr itu berlaku pada bulan Ramadan. Ia berlaku pada sepuluh malam yang terakhir. *Ia berlaku pada malam ke-27*. Kemudian Ubay Ibn Ka’b رضي الله عنه telah *bersumpah* bahawa Lailatul Qadr ialah pada malam ke-27 tanpa mengecualikan sesuatu. Kemudian aku berkata: Dengan apa kamu berkata demikian, wahai Abu al-Munzir (gelaran Ubay Ibn Ka’b). Beliau menjawab: Dengan alamat atau tanda yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bahawasanya pada hari tersebut (iaitu pagi selepas malam Lailatul Qadr tersebut) matahari terbit tanpa sinaran yang kuat”.

2. *Hadis riwayat Ahmad* daripada Ibn ‘Umar رضي الله عنهما Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:

من كان متحريها فليتحرها ليلة سبع وعشرين ، أو قال : تحروها ليلة سبع وعشرين يعني ليلة القدر

“Sesiapa yang mencari Lailatul Qadr, maka hendaklah dia mencarinya *pada malam ke-27*” atau baginda bersabda: “Carilah ia pada malam ke-27, iaitu malam Lailatul Qadr”.

[Al-Syaukani menyatakan dalam kitabnya Nailul Awtor bahawa sanad hadis ini *sahih*].

3. *Hadis riwayat Ahmad* daripada Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما:

أن رجلا أتى نبي الله صلى الله عليه وسلم فقال : يا نبي الله إني شيخ كبير عليل يشق علي القيام ، فأمرني بليلة لعل الله يوفقني فيها لليلة القدر ، فقال : عليك بالسابعة

“Bahawasanya seorang lelaki telah datang kepada Nabi Allah صلى الله عليه وآله وسلم lalu berkata: Wahai Nabi Allah, sesungguhnya aku ini seorang tua yang sakit, susah bagiku untuk melakukan qiam. Maka perintahkanlah aku dengan suatu malam yang mudah-mudahan Allah memberikan aku taufiq pada malam tersebut untuk mendapatkan Lailatul Qadr. Maka Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda: *Hendaklah kamu mengambil malam ke-27*”

[Syeikh Ahmad Syakir menjelaskan bahawa sanad hadis ini adalah *sahih*].

4. *Diriwayatkan oleh al-Hakim* bahawa Sayyiduna Umar رضي الله عنه pernah menghimpunkan para sahabat dan berbincang tentang Lailatul Qadr. Maka setiap sahabat menyatakan pendapat mereka. Ada yang mengatakan 21, 23, 25, 27 dan 29. Lalu Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما menyatakan bahawa pada pendapat beliau Lailatul Qadr ialah *malam ke-27*. Ini kerana mereka semua telah sepakat bahawa ia berlaku pada malam ke-20 lebih, tetapi tidak diketahui yang ‘lebih’ itu berapa? Maka Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما mengatakan yang ‘lebih’ itu ialah 7 kerana Allah menciptakan langit dengan 7 lapis, bumi dengan 7 lapis, Allah menjadikan dalam seminggu ada 7 hari, manusia makan daripada 7 jenis makanan, sujud pula dengan 7 anggota dan beliau menyebutkan beberapa perkara lagi yang berkaitan dengan angka 7 seperti bilangan pusingan tawaf dan lain-lain. Kata Umar رضي الله عنه : Kamu telah memahami apa yang kami tidak faham sebelum ini (kisah ini berbeza mengikut riwayat).

Selain itu, terdapat sebahagian ulama yang mengatakan bahawa malam ke-27 itu diisyaratkan dalam al-Quran dengan beberapa jenis isyarat:

1. Kalimah هي (ia) dalam surah al-Qadr merujuk kepada malam Lailatul Qadr dan kalimah tersebut merupakan kalimah ke-27 dalam surah tersebut.

2. Kalimah ليلة القدر (Lailatul Qadr) mengandungi 9 huruf dan ia diulangi sebanyak 3 kali dalam surah tersebut. Maka (setelah didarab) jumlahnya ialah 27. [Rujuk kitab Fathul Bari]

Namun ini hanya sekadar isyarat sahaja dan bukanlah hujah. Hujah yang sebenar ialah dalil-dalil yang telah dinyatakan sebelum ini. Bagi orang yang benar-benar berpegang dengan syariat dan cintakan sunnah, wujudnya sepotong hadis pun sudah cukup mendorongnya untuk beramal. Manakala bagi orang yang tidak mahu beramal, 1001 dalil pun tidak dapat menjadi asbab untuk mendorongnya agar beramal.

Semoga Allah mengampunkan kita, ibu bapa kita, guru-guru kita serta sekalian muslimin dan muslimat. Semoga Allah juga menerima amalan kita semua sepanjang bulan Ramadan ini.

Yang mengharapkan taufiq Allah,
*Abdul Rahman Bin Harman Shah Raniri al-Azhari*

.

Credit to ex roomate KK5 UM, Ustaz Zhaffaran (tak jumpa pulak nama nak ditag 😅)

No comments:

Post a Comment